[1] Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani:
[2] Kamu tahu bahawa dahulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terperdaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu.
[3] Oleh itu, aku menyatakan kepadamu, tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: "Yesus terkutuk" dan tiada siapa pun dapat mengakui, "Yesus ialah Tuhan," kecuali di bawah bimbingan Roh Kudus.
[4] Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh.
[5] Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan.
[6] Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya.
[7] Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua.
[8] Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan.
[9] Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama.
[10] Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu.
[11] Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Kuduslah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.
[12] Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus.
[13] Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh – baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka – dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama.
[14] Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.
[15] Kalaulah kaki berkata, "Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh," maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh?
[16] Dan kalaulah telinga berkata, "Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh," maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh?
[17] Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan?
[18] Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya.
[19] Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh?
[20] Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.
[21] Mata tidak boleh berkata kepada tangan, "Aku tidak memerlukanmu," kepala tidak boleh berkata kepada kaki, "Aku tidak memerlukanmu."
[22] Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan.
[23] Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan.
[24] Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya,
[25] supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain.
[26] Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.
[27] Kamu adalah tubuh Kristus, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu.
[28] Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberi pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah.
[29] Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi nabi? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat?
[30] Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu?
[31] Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.