[1] Saudara-saudaraku! Aku tidak dapat bercakap denganmu seperti dengan orang yang mempunyai Roh Kudus. Aku terpaksa bercakap denganmu seperti dengan orang yang masih hidup secara duniawi atau yang masih mentah dalam Kristus.
[2] Dulu aku memberimu susu kerana kamu belum sedia menerima makanan pepejal. Tetapi sekarang pun kamu masih belum bersedia menerimanya.
[3] Sebabnya kamu masih hidup secara duniawi. Kamu berdengki-dengkian dan berbalah; bukankah itu tanda kamu masih hidup secara duniawi, sama seperti manusia biasa?
[4] Apabila seorang daripadamu berkata, "Aku mengikut Paulus" dan seorang lagi berkata, "Aku mengikut Apolos", bukankah kelakuanmu sama seperti kelakuan orang dunia ini?
[5] Siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba Allah yang memimpinmu ke arah iman terhadap Kristus. Kami sekadar menjalankan tugas yang ditetapkan oleh Tuhan.
[6] Aku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Allah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
[7] Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
[8] Yang menyemaikan benih dan yang menyiram mempunyai kedudukan yang sama. Allah akan mengurniakan ganjaran berdasarkan kerja masing-masing.
[9] Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah.
[10] Dengan kasih kurnia Allah, aku sebagai pembina yang mahir telah meletakkan asas bangunan itu, lalu orang lain membina bangunan di atas asas itu. Setiap orang yang membina perlu berhati-hati.
[11] Kerana tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Yesus Kristus.
[12] Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami.
[13] Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api.
[14] Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran.
[15] Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran.
[16] Kamu tentu tahu bahawa kamu bait Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam dirimu.
[17] Oleh itu, sekiranya seseorang memusnahkan bait Allah, Allah akan memusnahkan orang itu, kerana bait Allah itu suci dan kamulah bait Allah itu.
[18] Janganlah menipu diri. Jika sesiapa dalam kalanganmu menganggap dirinya bijak berdasarkan penilaian dunia, dia harus menjadikan dirinya bodoh di mata dunia supaya dia benar-benar bijak;
[19] kerana apa yang dipandang dunia sebagai kebijaksanaan sebenarnya kebodohan di mata Allah. Telah tersurat: "Allah memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri."
[20] Juga tersurat: "Tuhan mengetahui fikiran orang bijak itu sia-sia."
[21] Jadi, janganlah bermegah dengan perbuatan manusia, kerana segala-galanya telah dikurniakan kepadamu.
[22] Paulus, Apolos, Kefas, dunia ini, hidup dan mati, zaman ini dan zaman akan datang, segala-galanya milikmu,
[23] dan kamu milik Kristus, dan Kristus milik Allah.