[1] Saudara-saudaraku, aku ingin mengingatkan kamu bahawa nenek moyang kita berada di bawah awan, dan semuanya menyeberangi Laut Merah.
[2] Mereka semua dibaptiskan di dalam awan dan laut itu untuk menjadi pengikut Musa.
[3] Mereka makan makanan rohani yang sama
[4] dan minum minuman rohani yang sama dari batu pejal rohani yang menyertai mereka, dan batu pejal rohani itu ialah Kristus sendiri.
[5] Namun demikian, Allah tidak meredai kebanyakan daripada mereka, maka mayat mereka bergelimpangan di gurun.
[6] Semua ini menjadi contoh kepada kita supaya kita tidak ingin akan kejahatan seperti mereka dahulu;
[7] dan supaya kita tidak menyembah berhala seperti sebilangan daripada mereka. Telah tersurat, "Umat itu duduk untuk makan minum lalu bangkit untuk bersuka ria."
[8] Janganlah kita berkelakuan cabul seperti sesetengah mereka. Akibat perbuatan itu, dua puluh tiga ribu orang mati dalam sehari.
[9] Janganlah kita cubai Kristus seperti yang dilakukan oleh sebilangan daripada mereka. Akibatnya mereka mati dipagut ular berbisa.
[10] Janganlah kita bersungut seperti sesetengah mereka, sehingga nyawa mereka dicabut Malaikat Maut.
[11] Semua yang terjadi kepada mereka merupakan suatu iktibar, dan telah ditulis untuk menjadi amaran kepada kita yang hidup pada akhir zaman.
[12] Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh.
[13] Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.
[14] Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala.
[15] Aku berkata-kata kepadamu seperti kepada orang bijaksana. Fikirkanlah masak-masak apa yang aku katakan.
[16] Bukankah cawan kesyukuran yang kita berkati itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam darah Kristus? Bukankah roti yang kita pecah-pecahkan itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam tubuh Kristus?
[17] Walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh, kerana kita makan roti yang satu itu bersama-sama.
[18] Perhatikan bangsa Israel: Bukankah mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah itu bersama-sama mengambil bahagian dalam penyembahan?
[19] Adakah maksudku bahawa berhala, atau makanan yang dipersembahkan kepada berhala, tidak bererti apa-apa?
[20] Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala bukanlah persembahan kepada Allah tetapi kepada roh-roh iblis. Aku tidak mahu kamu terlibat dengan roh-roh iblis.
[21] Kamu yang tidak dapat minum dari cawan Tuhan, minum pula daripada cawan roh iblis. Kamu yang tidak dapat makan di meja Tuhan, makan pula di meja roh iblis.
[22] Bukankah kita yang membuat Tuhan cemburu sekiranya kita berbuat demikian? Adakah kita lebih kuat daripada Tuhan?
[23] Kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya berfaedah; kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya membina hidup.
[24] Janganlah lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Lakukanlah untuk kepentingan orang lain juga.
[25] Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Jangan tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu;
[26] kerana "Bumi ini milik Tuhan dengan segala yang di dalamnya."
[27] Jika kamu diajak makan oleh seorang yang tidak beriman dan kamu menerima, makanlah apa-apa yang dihidangkan. Usah tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu.
[28] Tetapi jika seseorang memberitahumu, "Makanan ini telah dipersembahkan kepada berhala", janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu, dan demi hati nurani.
[29] Maksudku bukan hati nuranimu, tetapi hati nurani orang itu. Mungkin ada yang bertanya, "Mengapa pula kebebasanku harus kubatasi untuk hati nurani orang lain?
[30] Jika aku turut makan dengan mengucap syukur kepada Allah atas makanan itu, mengapa orang harus mengecamku?"
[31] Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah.
[32] Jagalah tingkah lakumu, jangan sampai menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi atau orang Yunani, mahupun jemaah Allah.
[33] Ikutlah teladanku. Dalam setiap yang kubuat, aku cuba menyukakan hati semua orang. Aku tidak melebihkan kepentingan diriku. Aku mengutamakan kepentingan orang lain, untuk menyelamatkan mereka.