Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:39

[1] “Jangan hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga.

[2] Allah akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.

[3] Mengapakah kamu perhatikan selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan?

[4] Bagaimana kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri?

[5] Hai munafik! Keluarkan dahulu kayu balak dari matamu, barulah kamu dapat melihat dengan jelas, lalu keluarkan selumbar dari mata saudaramu.

[6] Jangan berikan apa-apa yang suci kepada anjing; anjing hanya akan berbalik lalu menerkam kamu. Jangan berikan mutiara kepada babi; babi hanya akan memijak-mijak mutiara.”

[7] “Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu.

[8] Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya; dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya.

[9] Bapa yang manakah akan memberikan batu kepada anaknya, apabila anaknya meminta roti?

[10] Bapa yang manakah akan memberikan ular, apabila anaknya meminta ikan?

[11] Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia!

[12] Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.”

[13] “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu.

[14] Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.”

[15] “Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas.

[16] Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara.

[17] Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk.

[18] Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik.

[19] Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar.

[20] Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.”

[21] “Tidak semua orang yang memanggil Aku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan,’ akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.

[22] Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?’

[23] Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!’ ”

[24] “Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini dan menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu.

[25] Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu.

[26] Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini tetapi tidak menurutnya, dia seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir.

[27] Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!”

[28] Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar.

[29] Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka.

Matius — Chapters