Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:09

[1] Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan itu.

[2] Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Ketahuilah bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya; semuanya akan dirobohkan.”

[3] Di bukit Zaitun, semasa Yesus duduk, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Tiada orang lain di situ, maka mereka bertanya, “Guru, beritahulah kami bila segala perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman?”

[4] Yesus menjawab, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu.

[5] Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!’ Mereka akan menipu banyak orang.

[6] Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba.

[7] Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi.

[8] Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin.

[9] Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku.

[10] Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci.

[11] Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang.

[12] Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap.

[13] Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.

[14] Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.”

[15] “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!)

[16] Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.

[17] Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu.

[18] Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah.

[19] Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi!

[20] Berdoalah kepada Allah supaya kamu tidak kena melarikan diri pada musim sejuk atau pada hari Sabat!

[21] Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi.

[22] Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat pilihan Allah, Dia memendekkan masa itu.

[23] Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu.

[24] Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu.

[25] Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku.

[26] Jika orang berkata kepada kamu, ‘Lihat, dia di padang gurun!’ - janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, ‘Lihat, dia di dalam bilik!’ - janganlah percaya.

[27] Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat.

[28] Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.”

[29] “Tidak lama selepas kesusahan masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya.

[30] Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.

[31] Trompet akan dibunyikan dengan kuat, dan Anak Manusia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan Allah dari hujung bumi ke hujung langit.”

[32] “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat.

[33] Demikian juga apabila kamu melihat semua perkara ini, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan segera akan bermula.

[34] Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya.

[35] Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”

[36] “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu.

[37] Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh.

[38] Pada masa banjir belum melanda, orang makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera.

[39] Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya apabila Anak Manusia datang.

[40] Pada waktu itu, dua orang sedang bekerja di ladang: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan.

[41] Dua orang wanita sedang menggiling gandum: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan.

[42] Berjaga-jagalah kerana kamu tidak mengetahui waktunya Tuhan kamu akan datang.

[43] Ingatlah hal ini! Jika tuan rumah mengetahui waktunya pencuri hendak datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membenarkan pencuri memasuki rumahnya.

[44] Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.”

[45] “Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan.

[46] Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali.

[47] Percayalah, tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu.

[48] Tetapi jika hamba itu orang yang jahat, dia akan berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuanku akan kembali.’

[49] Lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan orang yang suka mabuk.

[50] Kemudian pada hari dan masa yang tidak disangkanya, tuan hamba itu kembali.

[51] Dia akan menghukum hamba itu dengan berat, dan membuang hamba itu ke tempat orang munafik dihukum. Di sana dia akan menangis dan menderita.”

Matius — Chapters