Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 14:09

[1] Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,

[2] “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!”

[3] Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas.

[4] Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia.

[5] Mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh.”

[6] Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan.

[7] Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus.

[8] Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, “Mengapa minyak wangi itu dibazirkan?

[9] Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!”

[10] Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji.

[11] Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu.

[12] Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku.

[13] Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.”

[14] Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam.

[15] Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?” Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya.

[16] Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus.

[17] Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?”

[18] Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ”

[19] Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu.

[20] Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan.

[21] Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.”

[22] Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?”

[23] Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku.

[24] Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!”

[25] Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!”

[26] Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.”

[27] Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua.

[28] Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.

[29] Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.”

[30] Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.

[31] Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’

[32] Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.”

[33] Petrus berkata kepada Yesus, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!”

[34] Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.”

[35] Petrus menjawab, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian.

[36] Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke suatu tempat bernama Getsemani. Dia berkata kepada mereka, “Duduklah di sini sementara Aku pergi ke sana untuk berdoa.”

[37] Yesus mengajak Petrus dan kedua-dua orang anak Zebedeus pergi bersama dengan-Nya. Dia sangat sedih dan gelisah.

[38] Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.”

[39] Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.”

[40] Kemudian Yesus kembali kepada ketiga-tiga orang pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu bertiga berjaga dengan Aku selama satu jam?

[41] Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.”

[42] Sekali lagi Yesus pergi dan berdoa, “Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku.”

[43] Kemudian Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan Dia mendapati mereka masih tidur kerana mengantuk.

[44] Sekali lagi Yesus meninggalkan mereka, lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga.

[45] Lalu Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi Anak Manusia diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa.

[46] Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”

[47] Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi.

[48] Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!”

[49] Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus.

[50] Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat.

[51] Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya.

[52] Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang.

[53] Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan?

[54] Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?”

[55] Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku!

[56] Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.” Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia.

[57] Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa Dia ke rumah Imam Agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul.

[58] Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah Imam Agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku.

[59] Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.

[60] Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan

[61] dan berkata, “Orang ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.’ ”

[62] Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?”

[63] Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, “Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?”

[64] Yesus menjawab, “Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!”

[65] Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, “Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah.

[66] Apakah keputusan kamu?”

[67] Mereka menjawab, “Dia bersalah dan mesti dihukum mati.” Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus

[68] berkata, “Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?”

[69] Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.”

[70] Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, “Aku tidak tahu akan maksudmu.”

[71] Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, “Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.”

[72] Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, “Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!”

[73] Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, “Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.”

[74] Lalu Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!” Pada saat itu juga ayam berkokok.

[75] Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu.

Matius — Chapters