[1] Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus.
[2] Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya.
[3] Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji.
[4] Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati.
[5] Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu.
[6] Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan.
[7] Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, ‘Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.’ Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.”
[8] Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus.
[9] Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, “Sejahteralah kamu.” Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia.
[10] “Janganlah takut,” kata Yesus kepada mereka, “pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.”
[11] Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku.
[12] Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu.
[13] Mereka berkata kepada askar-askar itu, “Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur.
[14] Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir.”
[15] Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi.
[16] Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka.
[17] Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu.
[18] Yesus menghampiri mereka lalu berkata, “Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi.
[19] Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah.
[20] Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.”