Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:48

[1] Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya,

[2] “Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!”

[3] Yesus menjawab, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri?

[4] Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’

[5] Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,’

[6] maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri.

[7] Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu!

[8] Allah berfirman, ‘Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku.

[9] Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’ ”

[10] Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah!

[11] Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.”

[12] Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?”

[13] Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.

[14] Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.”

[15] Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.”

[16] Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka.

[17] Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi.

[18] Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang.

[19] Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.

[20] Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!”

[21] Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon.

[22] Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.”

[23] Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!”

[24] Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.”

[25] Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.”

[26] Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.”

[27] “Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.”

[28] Oleh itu Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!” Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh.

[29] Yesus meninggalkan tempat itu lalu berjalan menyusur tepi Tasik Galilea. Kemudian Dia naik ke sebuah bukit lalu duduk.

[30] Banyak orang datang kepada-Nya dan membawa orang yang tempang, yang buta, yang lumpuh, yang bisu, dan banyak lagi orang sakit. Mereka meletakkan semua orang ini di hadapan Yesus dan Yesus menyembuhkan mereka semua.

[31] Orang ramai hairan apabila mereka melihat yang bisu bercakap, yang lumpuh berjalan, yang tempang sembuh, dan yang buta melihat. Mereka memuji-muji Allah umat Israel.

[32] Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.”

[33] Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?”

[34] Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.”

[35] Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah.

[36] Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.

[37] Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul.

[38] Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.

[39] Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan.

Matius — Chapters