[1] Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub,
[2] “Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu?
[3] Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku, dan jawablah soalan-soalan-Ku.
[4] Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah.
[5] Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya?
[6] Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini,
[7] pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira?
[8] Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi?
[9] Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan.
[10] Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya.
[11] Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’
[12] Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah?
[13] Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi?
[14] Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah.
[15] Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan.
[16] Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut?
[17] Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu?
[18] Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya.
[19] Tahukah engkau asalnya cahaya? Tahukah engkau tempatnya kegelapan?
[20] Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya, ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang?
[21] Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya, seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia; tentunya engkau sudah sangat tua!
[22] Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku, tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu?
[23] Aku menyediakannya untuk masa kesusahan, untuk hari pertempuran dan peperangan.
[24] Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur?
[25] Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat, dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat?
[26] Siapakah yang menurunkan hujan ke tempat yang tidak didiami orang?
[27] Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus, sehingga rumput di sana bertunas?
[28] Adakah hujan mempunyai bapa kandung? Siapakah yang melahirkan embun?
[29] Adakah air batu mempunyai ibu? Siapakah yang melahirkan embun beku?
[30] Siapakah yang mengubah air menjadi batu dan menjadikan permukaan laut beku?
[31] Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika, ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion?
[32] Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim, dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil?
[33] Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia?
[34] Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan, dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan?
[35] Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung, adakah kilat datang kepadamu dan berkata, “Saya, tuan!”?
[36] Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun?
[37] Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan, dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan,
[38] hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan?
[39] Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa, dan mengenyangkan anak singa,
[40] apabila singa bersembunyi di dalam gua, atau menunggu mangsa di dalam sarangnya?
[41] Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam ketika burung itu merayau mencari makanan, ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan?