[1] Tetapi Ayub menjawab,
[2] “Aku tetap memberontak dan membantah Allah; aku tidak dapat menahan keluh kesah.
[3] Alangkah baiknya jika aku tahu di mana Allah berada, dan dapat pergi ke tempat-Nya.
[4] Maka aku akan mengajukan perkaraku kepada-Nya, dan membela diri dengan sedaya upaya.
[5] Aku hendak tahu apa yang akan dikatakan-Nya, dan bagaimana Dia memberikan jawapan-Nya.
[6] Adakah Allah dengan segala kekuatan-Nya menentang diriku? Tidak, Dia akan mendengarkan kata-kataku.
[7] Aku jujur dan dapat berhujah dengan Allah, dan aku akan dinyatakan tidak bersalah untuk selama-lamanya.
[8] Aku telah mencari Allah di timur, tetapi Dia tiada di sana; apabila aku mencari Dia di barat, Dia juga tiada di sana.
[9] Allah telah bertindak di selatan dan utara, tetapi aku masih belum menemui Dia.
[10] Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku.
[11] Aku mengikut jalan-Nya dengan setia, aku tidak menyimpang dari jalan yang ditentukan-Nya.
[12] Perintah-perintah Allah selalu kutaati, aku menurut kehendak-Nya, bukan kehendakku sendiri.
[13] Allah tidak pernah berubah dan tiada yang dapat menentang Dia. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
[14] Dia akan menjalankan rancangan-Nya untuk diriku, dan banyak lagi rancangan-Nya selain itu.
[15] Kerana takut akan Dia, gementarlah aku; semakin aku fikirkan semua itu, semakin takutlah aku.
[16] Allah Yang Maha Kuasa telah mematahkan semangatku. Aku takut kerana Allah, dan bukan kerana kegelapan, walaupun kegelapan mengelilingi aku dan menutupi wajahku.