Skip to content
Opens in a new window

[1] Dengarlah sebentar lagi dan bersabarlah, masih ada yang hendak aku katakan demi Allah.

[3] Pengetahuanku luas; aku akan menggunakannya untuk menunjukkan bahawa Penciptaku adil.

[4] Perkataanku tiada yang palsu; orang yang sungguh bijak berada di depanmu.

[5] Allah sungguh perkasa, dan tidak menghina sesiapa; segala sesuatu difahami-Nya.

[6] Dia tidak membiarkan orang berdosa hidup lama, dan Dia memberikan keadilan kepada orang yang menderita.

[7] Dia melindungi orang yang jujur; Dia membiarkan mereka memerintah seperti raja sehingga mereka dihormati selama-lamanya.

[8] Tetapi jika orang dibelenggu dengan rantai besi, dan menderita kerana perbuatan mereka sendiri,

[9] maka dosa dan kesombongan mereka, akan dinyatakan oleh Allah.

[10] Dia menggerakkan mereka supaya mendengarkan amaran-Nya, dan supaya meninggalkan kejahatan mereka.

[11] Jika mereka mematuhi Allah dan mengabdi kepada-Nya, mereka akan hidup aman dan makmur sampai akhir hayat mereka.

[12] Tetapi jika mereka tidak mematuhi Allah, mereka akan binasa; mereka akan mati dalam kebodohan mereka.

[13] Orang yang tidak mengenal Allah, menyimpan kemarahan; walaupun dihukum, mereka tidak berdoa minta pertolongan.

[14] Mereka mati ketika masih muda, kerana hidup mereka penuh aib.

[15] Tetapi Allah mengajar manusia melalui penderitaan dan menginsafkan mereka melalui kesusahan.

[16] Allah telah melepaskan engkau daripada kesusahan, dan membiarkan engkau menikmati keamanan, dan mejamu dipenuhi makanan.

[17] Tetapi kini, setimpal dengan kejahatanmu, engkau menerima hukumanmu.

[18] Waspadalah, jangan biarkan rasuah menipu engkau, dan jangan biarkan kekayaan menyesatkan engkau.

[19] Tiada gunanya engkau berteriak minta bantuan; segenap tenagamu tidak dapat memberikan pertolongan.

[20] Jangan rindukan malam yang gelap, waktunya bangsa-bangsa binasa dan lenyap.

[21] Waspadalah, jangan berpaling kepada kejahatan; penderitaan didatangkan untuk menjauhkan engkau daripada kejahatan.

[22] Ingatlah, kuasa Allah sungguh besar. Dialah guru yang maha besar.

[23] Tiada sesiapa yang boleh memberitahu Allah apa yang harus dilakukan, ataupun menuduh Dia melakukan kejahatan.

[24] Allah sentiasa dipuji kerana perbuatan-Nya; engkau juga mesti menyanjung Dia.

[25] Semua orang telah melihat perbuatan-Nya; tetapi kita dapat memandang dari jauh sahaja.

[26] Kita tidak dapat mengetahui keagungan Allah dengan sepenuhnya, ataupun mengira jumlah tahun-Nya.

[27] Allah yang menarik air dari bumi ke langit, dan mengubahnya menjadi titisan air hujan.

[28] Dia membiarkan air mencurah dari mega, menjadi hujan yang turun ke atas semua manusia.

[29] Tiada sesiapa yang tahu caranya awan bergerak, atau guruh mengguntur di langit tempat kediaman Allah.

[30] Dia menerangi seluruh langit dengan kilat, tetapi dasar laut tetap gelap pekat.

[31] Itulah cara Dia memberikan makanan kepada manusia, dan menyediakan makanan yang berlimpah-limpah.

[32] Dia menangkap kilat dengan tangan, lalu menyuruhnya menyambar sasaran.

[33] Bunyi guruh menandakan bahawa ribut akan melanda, dan ternakan pun tahu bahawa badai segera tiba.

Ayub — Chapters