Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian Ayub menjawab,

[2] “Aku pernah mendengar kata-kata demikian; penghiburan yang kamu berikan itu hanya seksaan.

[3] Adakah kamu akan bercakap selama-lamanya? Apakah yang merangsang kamu untuk terus berkata-kata?

[4] Jika kamu ini aku, dan aku pula kamu, aku pun dapat bercakap seperti itu. Aku akan membanjiri kamu dengan perkataan; dan menggelengkan kepala.

[5] Aku dapat menguatkan kamu dengan nasihatku, dan terus bercakap untuk menghiburkan kamu.

[6] Jika aku bercakap, tidak ada gunanya; jika aku berdiam diri, deritaku tidak reda.

[7] Allah telah melelahkan aku, Dia telah membunuh keluargaku.

[8] Dialah musuhku dan telah menawan aku. Kini kurus keringlah tubuhku, dan bagi banyak orang itulah buktinya bahawa aku telah berdosa.

[9] Oleh kemurkaan-Nya, Allah menyiat tubuhku; dengan kebencian, Dia memandang aku.

[10] Orang mengejek aku; mereka mengeroyok aku dan menampar mukaku.

[11] Allah telah menyerahkan aku kepada orang derhaka; aku dijatuhkan-Nya ke dalam tangan orang durjana.

[12] Dahulu hidupku aman dan sentosa, tetapi Allah menyerang aku dengan tiba-tiba. Leherku dicengkeram-Nya dan aku dicampakkan; aku dijadikan-Nya sasaran untuk latihan.

[13] Tanpa belas kasihan Dia memanah aku dari segala arah, sehingga aku cedera dan luka.

[14] Dia mencederakan aku berulang-ulang; Dia menyerang seperti seorang pejuang.

[15] Aku memakai kain guni tanda kesedihan, aku duduk di atas debu kerana dikalahkan.

[16] Aku menangis sehingga mukaku merah, dan kelopak mataku bengkak dan hitam.

[17] Tetapi aku tidak melakukan perbuatan ganas, dan doaku tetap ikhlas.

[18] Hai bumi, kejahatan terhadapku jangan sembunyikan. Jangan diamkan teriakanku minta keadilan.

[19] Ada pembelaku di syurga yang akan memberikan kesaksian bahawa aku tidak berdosa.

[20] Sahabat-sahabatku menghina aku, aku menangis di hadapan Allah.

[21] Aku ingin agar ada orang merayu kepada Allah bagiku, seperti orang merayu untuk sahabatnya.

[22] Tahun-tahunku tidak banyak lagi, aku akan pergi dan tidak kembali lagi.

Ayub — Chapters