[1] Ke mana perginya kekasihmu, wahai yang tercantik di antara perempuan? Katakan ke manakah kekasihmu pergi, agar kami dapat mencarinya bersama-samamu? Mempelai perempuan
[2] Kekasihku turun ke tamannya, ke permatang rempah-ratusnya, untuk menggembala domba di taman dan memetik bunga-bunga bakung.
[3] Aku milik kekasihku, dan kekasihku milikku. Dia menggembala domba di antara bunga bakung. Mempelai laki-laki
[4] Sayangku, engkau cantik seperti Tirza, lawa seperti Yerusalem, hebat seperti tentera yang membawa panji-panji.
[5] Alihkanlah matamu daripadaku, kerana aku tenggelam lemas dibuatnya. Rambutmu bak kawanan kambing yang melompat turun dari Gilead.
[6] Gigimu bak kawanan domba betina yang baru naik dari tempat pembasuhan, semuanya beranak kembar; tiada satu pun di antaranya yang kehilangan anak.
[7] Pelipismu bagaikan buah delima merkah di balik tudungmu.
[8] Ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan tidak terhingga ramainya perawan.
[9] Tetapi dialah satu-satunya merpatiku, kekasihku yang sempurna, dialah satu-satunya anak ibunya, anak kesayangan orang yang melahirkannya. Para puteri melihatnya dan menyebutnya berbahagia, para permaisuri dan para gundik pun memujinya, Puteri-puteri Yerusalem
[10] "Siapakah si dia yang menjenguk bagaikan fajar, cantik bagaikan bulan purnama, terang bagaikan matahari, dan hebat lagi menaikkan semangat seperti tentera pembawa panji-panji?" Sang kekasih kepada mempelai perempuan
[11] Aku turun ke dusun kacang untuk melihat kehijauan pepohon di lembah, untuk melihat sama ada pokok anggur sudah bertunas dan sama ada pokok-pokok delima sudah berbunga.
[12] Di bawah sedarku, angan-anganku membawa aku mengenderai rata-rata kaum bangsawan. Puteri-puteri Yerusalem
[13] Kembalilah, kembalilah, wahai gadis Sulam! Kembalilah, kembalilah, supaya kami dapat melihatmu. Mempelai laki-laki Mengapa perlu kamu melihat si gadis Sulam itu seperti melihat tari-tarian Mahanaim?