[1] Aku datang ke tamanku, wahai adindaku, pengantinku. Kukumpulkan damar wangiku dan rempah-ratusku, kumakan sarang lebahku bersama dengan maduku, kuminum air anggurku serta susuku. Puteri-puteri Yerusalem Makanlah, wahai sahabat-sahabat, dan minumlah! Minumlah sehingga kamu mabuk cinta! Mempelai perempuan
[2] Aku tidur, namun hatiku masih sedar. Dengarlah, kekasihku mengetuk-ngetuk pintu. "Bukakanlah aku pintu, wahai adindaku, sayangku, merpatiku, kekasihku yang sempurna! Kepalaku kuyup oleh embun dan rambutku lebat dengan titis-titis embun malam." Mempelai perempuan
[3] Bajuku telah kutanggalkan, haruskah aku pakainya semula? Kakiku telah kubasuh, haruskah aku mengotorkannya semula?
[4] Kekasihku memasukkan tangannya menerusi lubang di pintu, berdebar-debarlah hatiku kerananya.
[5] Aku bangun untuk membuka pintu bagi kekasihku. Tanganku menitiskan damar wangi, dan mengalirlah damar wangi daripada jari-jariku ke atas pemegang di pengancing pintu.
[6] Kubuka pintu untuk kekasihku, tetapi kekasihku telah berpaling dan pergi. Hatiku terhenyak ketika dia berkata-kata. Kucari dia, tetapi tidak kutemukan; kupanggil-panggil, tetapi dia tidak menyahut.
[7] Para pengawal yang meronda kota menemui aku. Mereka memukuli aku, mereka melukai aku, mereka merampas mantelku – para penjaga tembok itu!
[8] Kumohon dengan sungguh-sungguh kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, jika kamu menemukan kekasihku, sampaikanlah kepadanya bahawa aku diserang sakit asmara! Puteri-puteri Yerusalem
[9] Apakah kelebihan kekasihmu daripada kekasih lain, wahai yang tercantik di antara perempuan? Apakah kelebihan kekasihmu berbanding dengan kekasih lain, sehingga kaumohon sangat-sangat kepada kami? Mempelai perempuan
[10] Kekasihku itu putih kemerah-merahan, terkemuka di antara sepuluh ribu orang.
[11] Kepalanya bak emas termurni, rambutnya ikal, sehitam sang gagak.
[12] Matanya bak burung merpati di tepi saluran air, bermandikan susu, lengkap dalam kecukupan.
[13] Pipinya bagaikan hamparan rempah-ratus, bak permatang pelbagai herba harum. Bibirnya bak bunga bakung, menitiskan cairan damar wangi.
[14] Tangannya bak gandar emas, bertatahkan permata topaz. Tubuhnya bak ukiran gading, bertatah batu nilam.
[15] Kakinya bak tonggak marmar putih, terlekap di atas alas emas murni. Keterampilannya bak Lebanon, terpilih sebagaimana pokok-pokok araznya.
[16] Mulutnya paling manis, ya dia sama sekali mengasyikkan. Demikianlah kekasihku, demikianlah sahabatku, wahai puteri-puteri Yerusalem.