[1] Akulah bunga mawar dari Saron, bunga bakung di lembah-lembah. Mempelai laki-laki
[2] Seperti bunga bakung di antara duri, demikianlah sayangku di antara perawan. Mempelai perempuan
[3] Seperti pokok epal di antara pepohon hutan, demikianlah kekasihku di antara teruna. Aku gembira duduk di bawah naungannya, dan kepada mulutku, buahnya terasa manis.
[4] Dibawanya aku ke rumah perjamuan, dengan cogan cintanya di atasku.
[5] Kuatkanlah aku dengan kuih kismis, segarkanlah aku dengan buah epal, kerana asyik asmara melanda aku!
[6] Tangan kirinya di bawah kepalaku, dan tangan kanannya memeluk aku.
[7] Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang, jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya. Mempelai perempuan
[8] Suara kekasihku! Lihat, datanglah dia melompat melepasi gunung-gunung, melonjak melangkau bukit-bukit.
[9] Kekasihku seumpama kijang atau rusa jantan muda. Lihat, dia berdiri di balik dinding kita, mengamati-amati melalui jendela, mengintip-intip melalui tingkap kekisi.
[10] Bertuturlah kekasihku dan berkata kepadaku, "Bangunlah, oh sayangku, Juitaku, marilah!
[11] Lihatlah, musim dingin sudah berlalu, hujan sudah teduh dan telah pergi.
[12] Bunga-bunga menampakkan diri di bumi, masa berdendang telah tiba, kedengaran kini kicauan burung tekukur di bumi kita.
[13] Pokok ara mulai berputik, dan semerbaklah bau pokok anggur yang berbunga. Bangunlah, marilah, sayangku, jelitawanku, marilah! Mempelai laki-laki
[14] Wahai merpatiku di celah-celah bukit batu, di persembunyian pada terjal-terjal gunung, biarlah aku tatap parasmu, biarlah aku dengar suaramu, kerana merdu suaramu dan elok parasmu.
[15] Tangkaplah untuk kami segala rubah itu, rubah yang kecil-kecil, yang merosakkan kebun-kebun anggur, ketika kebun-kebun anggur kami sedang berbunga." Mempelai perempuan
[16] Kekasihku milikku, dan aku miliknya; dia menggembala domba di antara bunga bakung.
[17] Sebelum bertiupnya angin senja dan bayang-bayang menghilang, kembalilah, wahai kekasihku! Jadilah seumpama kijang atau seumpama anak rusa di gaung-gaung Pergunungan Beter.