Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:16

[1] Sepanjang malam, di katilku kucari kekasih hatiku. Kucari, tetapi dia tidak kutemukan.

[2] "Aku akan bangun sekarang dan mengelilingi kota. Di jalan-jalan dan di tempat-tempat umum akan kucari kekasih hatiku." Kucari, tetapi dia tidak kutemui.

[3] Para pengawal yang mengelilingi kota menemui aku. "Adakah kamu melihat kekasih hatiku?"

[4] Sejurus sesudah kulalui mereka, aku menemui kekasih hatiku. Kurangkul dia dan tidak kulepaskan sampai kubawa dia ke rumah ibuku, ke bilik orang yang mengandungkan aku.

[5] Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang, jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya.

[6] Siapakah itu, yang muncul dari gurun bagaikan tiang asap, bak ombak yang harum dengan damar wangi dan kemenyan, daripada pelbagai serbuk wangian para pedagang?

[7] Lihat, itu tandu Salomo! Enam puluh orang kesateria mengelilinginya, daripada kalangan kesateria Israel.

[8] Semuanya lengkap dengan pedang, dan siap terlatih ilmu peperangan. Masing-masing dengan pedang di pinggang, siap menghadapi ancaman kengerian malam.

[9] Raja Salomo membuat tandu peribadinya daripada kayu Lebanon.

[10] Dengan tiang-tiangnya daripada perak, penyandarnya daripada emas, dan tempat duduknya daripada kain ungu. Bahagian dalamnya ditatah dengan kasih para puteri Yerusalem.

[11] Wahai para puteri Sion, keluarlah dan pandanglah Raja Salomo dengan taj yang dimahkotakan oleh bondanya pada hari pernikahannya, pada hari kesukaan hatinya.

Kidung Agung — Chapters