[1] Aku berkata benar dalam Kristus. Aku tidak berdusta, hati nuraniku mengesahkannya dalam Roh Kudus.
[2] Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku.
[3] Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada Kristus untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku.
[4] Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di Bait Suci, dan janji-janji.
[5] Mereka ialah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah Kristus lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu. Terpujilah Allah selama-lamanya. Amin.
[6] Ini tidaklah bererti Firman Allah telah gagal. Kerana bukan semua keturunan Israel itu diterima sebagai Israel.
[7] Juga bukan semua keturunan Abraham diterima sebagai anak-anak Abraham. Sebaliknya, "Melalui Ishak benih keturunanmu akan dipanggil."
[8] Ini bererti, anak-anak Allah bukanlah keturunan tabii Abraham tetapi anak-anak janji Allah.
[9] Kerana demikianlah kata-kata janji itu: "Pada masa yang ditetapkan Aku akan kembali, dan Sarah akan mendapat seorang anak lelaki."
[10] Bukan itu sahaja, malah kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, bapa kita.
[11] Namun demikian, sebelum anak kembar itu dilahirkan dan sempat berbuat baik atau jahat – untuk menegakkan kehendak Allah dalam pemilihan:
[12] bukan dengan kerja amal tetapi dengan Dia yang memanggil – Ribkah telah diberitahu: "Yang tua akan melayan yang muda."
[13] Sebagaimana tersurat dalam kitab suci: "Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci."
[14] Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak!
[15] Kerana Dia telah berkata kepada Musa, "Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani. Dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi."
[16] Oleh itu, hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah.
[17] Kerana Kitab Suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi.
[18] Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati.
[19] Seorang daripadamu akan berkata kepadaku, "Kalau begitu, mengapa masih menyalahkan kita? Kerana siapa yang dapat menentang kehendak-Nya?"
[20] Tetapi siapakah engkau, hai manusia, maka engkau menghujahi Allah? "Adakah ciptaan berkata kepada penciptanya, 'Mengapa kaubuat aku begini?' "
[21] Tidakkah tukang tembikar berhak membuat daripada segumpal tanah liat yang sama, beberapa bekas tembikar untuk tujuan mulia dan yang lain untuk kegunaan biasa?
[22] Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan?
[23] Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan,
[24] justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya daripada kalangan orang Yahudi tetapi juga daripada kalangan bangsa asing?
[25] Sebagaimana telah disampaikan-Nya melalui Hosea: "Aku akan memanggil mereka 'umat-Ku' sedangkan mereka bukan umat-Ku; dan Aku akan memanggil dia 'orang yang Kukasihi' sedangkan dia bukan orang yang Kukasihi.
[26] Dan, akan terjadi bahawa di mana telah dikatakan kepada mereka, 'Kamu bukan umat-Ku,' di situlah mereka akan dipanggil anak-anak Allah yang hidup."
[27] Yesaya juga telah berseru tentang umat Israel: "Walaupun bilangan anak Israel seperti pasir di tepi laut, hanya segelintir baki akan diselamatkan.
[28] Kerana Tuhan akan menjalankan hukuman-Nya di atas bumi dengan segera dan muktamad."
[29] Samalah seperti kata Yesaya sebelum itu: "Sekiranya Tuhan alam semesta tidak membiarkan keturunan kita hidup, kita tentu telah menjadi seperti Sodom, tentu kita seperti Gomora."
[30] Jadi, apa yang akan kita katakan? Bahawa bangsa-bangsa asing, yang tidak mengejar perbenaran, telah mendapatinya, iaitu perbenaran berasaskan iman.
[31] Sebaliknya orang Israel, yang mengejar perbenaran berasaskan hukum, tidak dapat mencapainya.
[32] Mengapa tidak? Kerana mereka mengejarnya bukan dengan iman, tetapi seolah-olah dengan mengamalkan kerja amal. Mereka tersandung pada batu sandungan.
[33] Sebagaimana telah tersurat: "Aku telah meletakkan di Sion seketul batu yang menyebabkan orang tersandung dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh, dan orang yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan."