[1] Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah.
[2] Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya?
[3] Atau tidakkah kamu tahu bahawa kita semua yang dibaptiskan dalam Kristus Yesus telah dibaptiskan ke dalam kematian-Nya?
[4] Melalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru.
[5] Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya.
[6] Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa.
[7] Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa.
[8] Jika kita telah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga.
[9] Kerana kita tahu bahawa oleh sebab Kristus telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi.
[10] Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah.
[11] Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus.
[12] Oleh itu, jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana.
[13] Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat perbenaran.
[14] Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia.
[15] Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak!
[16] Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati – sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada perbenaran.
[17] Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi kini kamu telah taat sepenuh hati akan bentuk ajaran yang telah diamanahkan kepadamu.
[18] Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada perbenaran.
[19] Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagian tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada perbenaran yang membawa kepada penyucian.
[20] Sewaktu kamu diperhamba dosa dahulu, kamu tidaklah dikuasai oleh kawalan perbenaran.
[21] Tetapi apakah manfaat yang kamu dapati daripada perkara-perkara yang kini membuatmu berasa malu? Perkara-perkara itu membawa kematian.
[22] Kini kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Allah, manfaat yang kamu dapati membawa kepada kesucian, dan hasilnya ialah kehidupan kekal.
[23] Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.