Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:35

[1] Yang kuat dalam kalangan kita hendaklah menampung kelemahan orang yang tidak kuat, dan jangan hanya menyukakan hati sendiri.

[2] Setiap orang antara kita haruslah menyukakan hati sesama saudaranya demi kebaikannya supaya dia menjadi teguh.

[3] Kristus tidak menyukakan hati-Nya sendiri; sebaliknya telah tersurat: "Segala celaan daripada mereka yang mencela-Mu telah menimpa-Ku."

[4] Segala yang tersurat pada masa dahulu adalah untuk menjadi pengajaran kepada kita, supaya melalui kesabaran dan penghiburan daripada Kitab Suci itu kita mendapat harapan.

[5] Semoga Allah yang memberikan kesabaran dan galakan, mengurniaimu perpaduan yang sama terhadap satu sama lain, menurut Kristus Yesus.

[6] Dengan demikian dapatlah kamu dengan sebulat hati dan suara memuliakan Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus.

[7] Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita, demi kemuliaan Allah.

[8] Sekarang aku berkata kepadamu bahawa Yesus Kristus telah menjadi hamba kepada umat yang bersunat demi kebenaran Allah, untuk meneguhkan janji yang telah dibuat kepada nenek moyang kita,

[9] dan supaya bangsa-bangsa lain juga memuliakan Allah kerana belas kasihan-Nya, sebagaimana telah tersurat: "Kerana itulah Aku akan memuliakan-Mu dalam kalangan bangsa lain, menyanyikan pujian bagi nama-Mu."

[10] Seterusnya dikatakan lagi: "Bergembiralah, semua bangsa, bersama umat-Nya!"

[11] Kemudian, "Pujilah Tuhan, hai semua bangsa! Pujilah Dia, hai kamu semua manusia!"

[12] Yesaya menyampaikan juga: "Tunas Isai akan muncul; Dialah yang bangkit memerintah bangsa-bangsa, kepada-Nyalah bangsa-bangsa akan menaruh harapan."

[13] Semoga Allah, sumber harapan, memenuhi hatimu dengan kegembiraan dan kesejahteraan dalam iman, supaya kamu dilimpahi harapan dengan kuasa Roh Kudus.

[14] Sekarang aku yakin tentangmu, saudara-saudaraku, bahawa kamu juga penuh dengan kebaikan dan pengetahuan serta dapat saling menasihati.

[15] Namun begitu, saudara-saudaraku, aku telah menulis kepadamu dengan lebih tegas tentang hal-hal tertentu kerana kasih kurnia yang telah dirahmati Allah kepadaku,

[16] untuk menjadikan aku hamba Kristus Yesus bagi bangsa-bangsa lain dalam pelayanan pemberitaan Injil Allah, supaya persembahan bangsa-bangsa lain itu diterima Allah disucikan oleh Roh Kudus.

[17] Dengan demikian aku dapat berbangga dalam Kristus Yesus tentang hal-hal berkaitan Allah.

[18] Aku tidak akan berani bercakap tentang sesuatu selain yang telah dilakukan oleh Kristus melaluiku, dengan kata-kata dan perbuatan, untuk menjadikan bangsa-bangsa lain itu taat,

[19] dalam bentuk tanda dan keajaiban besar, dengan kuasa Roh Allah. Dari Yerusalem dan sekitarnya sampai ke Ilirikum aku telah mengkhabarkan Injil Kristus dengan sepenuhnya.

[20] Aku ingin mengkhabarkan Injil ini ke tempat-tempat nama Kristus belum disebut orang. Dengan demikian aku tidak membina di atas tapak yang telah diletakkan oleh orang lain.

[21] Sebagaimana yang telah tersurat: "Mereka yang belum pernah mendapat khabar tentang-Nya akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti."

[22] Itulah sebabnya selalu sahaja tergendala hasratku hendak mengunjungimu.

[23] Namun sekarang, kerana tiada lagi tempat bagiku di sini, dan sudah bertahun-tahun aku ingin melawatmu,

[24] aku berharap dapat singgah di tempatmu ketika aku ke Sepanyol dan dapat bertemu denganmu. Aku juga berharap kamu akan membantuku meneruskan perjalanan ke sana setelah sejenak aku bergembira bersamamu.

[25] Tetapi kini aku sedang dalam perjalanan ke Yerusalem untuk membawakan bantuan kepada orang salih.

[26] Orang Makedonia dan Akhaya telah membuat keputusan turut membantu orang salih yang miskin di Yerusalem.

[27] Ini dilakukan mereka dengan rela hati, malah mereka menganggapnya suatu kewajipan; kerana jika bangsa-bangsa lain telah mendapat bahagian bersama orang Yahudi dalam hal-hal rohani, maka seharusnyalah mereka berbakti kepada orang Yahudi dalam hal-hal lahiriah.

[28] Setelah menjalankan tugas ini dan menyerahkan apa yang telah dikumpulkan, aku akan belayar ke Sepanyol dan singgah di tempatmu.

[29] Aku yakin bahawa apabila ke tempatmu, aku akan datang dengan berkat Kristus yang melimpah.

[30] Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, demi Tuhan Yesus Kristus dan demi kasih daripada Roh Kudus, berdoalah bersungguh-sungguh bersamaku kepada Allah bagi diriku,

[31] supaya aku terhindar daripada orang yang tidak beriman di Yudea dan supaya bantuan yang kubawakan ke Yerusalem ini disambut baik oleh orang salih di situ;

[32] supaya dengan izin Allah aku sampai di tempatmu dengan gembira dan dapat berehat bersamamu.

[33] Semoga Allah, sumber kesejahteraan, menyertai kamu semua. Amin.

Roma — Chapters