Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:35

[1] Aku amanahkan kepadamu Febe, saudari kita, seorang yang mengabdikan diri kepada jemaah di Kengkrea,

[2] supaya kamu menyambutnya dalam Tuhan sebagaimana yang wajar di antara orang salih, serta membantunya apabila dia memerlukan pertolonganmu, kerana dia telah menolong ramai orang, termasuklah aku.

[3] Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakan seperjuanganku dalam Kristus Yesus.

[4] Mereka telah bergadai nyawa untukku. Bukan aku sahaja yang terhutang budi kepada mereka, malah seluruh jemaah daripada bangsa-bangsa lain.

[5] Salam kepada jemaah yang berhimpun di rumah mereka. Salam kepada Epenetus, saudara yang kukasihi, orang yang pertama beriman kepada Kristus di Asia.

[6] Salam kepada Maria, yang telah bertungkus-lumus untukmu.

[7] Salam kepada Andronikus dan Yunias, saudara-saudara sebangsaku dan teman-temanku di dalam penjara. Mereka ialah orang terkemuka di antara para rasul, dan yang telah menerima Kristus sebelumku.

[8] Salam kepada Ampliatus yang kukasihi dalam Tuhan.

[9] Salam kepada Urbanus, rakan seperjuangan kamu dalam Kristus, dan juga kepada Stakhis yang kukasihi.

[10] Salam kepada Apeles, yang diperkenan dalam Kristus. Salam kepada Aristobulus dan seisi rumahnya.

[11] Salam kepada Herodion, saudara sebangsaku. Salam kepada Narkisus sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan.

[12] Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa, yang telah berpenat lelah dalam Tuhan. Salam kepada Persis yang kukasihi, yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan.

[13] Salam kepada Rufus, hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku.

[14] Salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas dan saudara-saudara yang bersama mereka.

[15] Salam kepada Filologus dan Yulia, Nereus dan saudara perempuannya Olimpas, serta semua orang salih yang bersama mereka.

[16] Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci. Jemaah-jemaah Kristus berkirim salam kepadamu.

[17] Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka.

[18] Orang demikian bukanlah hamba Tuhan Kristus tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya hati orang yang lurus dengan kata-kata yang manis.

[19] Semua orang telah mengetahui ketaatanmu. Oleh itu, aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan.

[20] Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua.

[21] Timotius, rakan seperjuanganku, berkirim salam kepadamu; begitu juga Lukius, Yason dan Sosipater, kawan-kawan sebangsaku.

[22] Aku, Tertius, yang menulis surat ini, juga berkirim salam kepadamu dalam Tuhan.

[23] Gayus, yang memberiku tempat menumpang serta semua jemaah yang berhimpun di rumahnya, berkirim salam kepadamu. Salam juga daripada Erastus, bendahara kota, dan Kuartus, saudara kita.

[24] Semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai kamu semua.

[25] Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut Injil yang kusampaikan dan perkhabaran tentang Yesus Kristus, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia

[26] tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam kitab suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman;

[27] kepada Allah sahaja, yang penuh bijaksana, segala kemuliaan melalui Yesus Kristus selama-lamanya. Amin.

Roma — Chapters