[1] Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan.
[2] Ada orang yang yakin dia boleh makan semua jenis makanan, tetapi ada juga orang yang lemah imannya dan hanya makan sayur-sayuran.
[3] Namun demikian, orang yang makan semua jenis makanan janganlah menghina orang yang tidak makan sesuatu; dan orang yang tidak makan sesuatu janganlah menghakimi orang yang makan semua jenis makanan, kerana Allah telah menerima dia.
[4] Siapakah kamu maka berani menghakimi hamba orang lain? Sama ada dia tetap berdiri atau jatuh, terpulanglah kepada tuannya. Malah dia akan tetap berdiri kerana Tuhan berkuasa membuatnya tetap berdiri.
[5] Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya.
[6] Mereka yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Mereka yang makan semua jenis makanan melakukannya untuk menghormati Tuhan, kerana mereka mengucap syukur kepada Allah; manakala mereka yang tidak makan beberapa jenis makanan juga melakukannya untuk menghormati Tuhan, dan mengucap syukur kepada Allah.
[7] Tiada seorang pun dalam kalangan kita yang hidup bagi diri sendiri, dan tiada seorang pun dalam kalangan kita yang mati bagi diri sendiri.
[8] Jika kita hidup, kita hidup bagi Tuhan; dan jika kita mati, kita mati bagi Tuhan. Oleh itu, baik kita hidup mahupun mati, kita ialah milik Tuhan.
[9] Kristus mati dan bangkit lalu hidup semula untuk menjadi Tuhan kepada yang mati dan yang hidup.
[10] Mengapakah kamu menghakimi saudaramu? Dan mengapa kamu menghina saudaramu? Kita semua akan berdiri di hadapan takhta penghakiman Allah.
[11] Kerana telah tersurat: "Demi Aku yang hidup." Tuhan berfirman, "Setiap orang akan bertekuk lutut di hadapan-Ku; dan setiap lidah akan mengaku kepada Allah."
[12] Nyatalah bahawa setiap orang daripada kita akan dipertanggungjawabkan memberi pernyataan tentang dirinya kepada Allah.
[13] Oleh itu, janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh.
[14] Dalam Tuhan Yesus, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis. Namun demikian, sesuatu menjadi najis bagi seseorang yang menganggapnya najis.
[15] Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana Kristus telah berkorban nyawa untuk dia juga.
[16] Jangan sampai sesuatu yang kamu anggap baik disebut sebagai kejahatan.
[17] Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi soal perbenaran dan kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus.
[18] Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara ini akan diredai Allah dan disukai manusia.
[19] Oleh itu, marilah kita mengejar hal-hal yang membawa kesejahteraan dan yang membina kebaikan sesama sendiri.
[20] Jangan rosakkan rancangan Allah semata-mata kerana makanan! Semua makanan adalah suci, tetapi seseorang dianggap bersalah sekiranya sesuatu yang dimakannya menyebabkan orang lain tersandung.
[21] Sebaik-baiknya jauhilah makan daging atau minum air anggur atau apa sahaja yang dapat melemahkan saudaramu.
[22] Apa yang kamu percayai, percayailah sendirian di hadapan Allah. Diberkatilah orang yang tidak perlu mengadili dirinya tentang sesuatu yang dipercayainya benar.
[23] Sebaliknya, seseorang yang makan sesuatu dengan perasaan waswas adalah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berasaskan iman. Segala yang tidak berasaskan iman itu adalah dosa.