[1] Melkisedek ini raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Dia telah bertemu dengan Abraham yang dalam perjalanan pulang setelah menewaskan raja-raja, lalu dia memberkati Abraham.
[2] Kepadanya juga Abraham menyerahkan sepersepuluh daripada segala yang dibawanya. Melkisedek mula-mula diterjemahkan sebagai "raja perbenaran"; kemudian dia dipanggil juga sebagai "raja Salem", bermakna "raja kesejahteraan."
[3] Dia tidak mempunyai ibu bapa, tidak bersalasilah, tiada tarikh permulaan atau penghabisan hayatnya, tetapi seperti Anak Allah, dia terus-menerus menjadi imam.
[4] Sekarang fikirkanlah betapa besarnya orang itu, hinggakan moyang kita Abraham menyerahkan kepadanya sepersepuluh daripada rampasan perangnya.
[5] Keturunan Lewi yang menerima jawatan imam dikehendaki memungut sepersepuluh hasil daripada kaum itu menurut hukum Taurat, iaitu daripada saudara-saudara mereka, walaupun daripada benih Abraham.
[6] Tetapi seorang yang bukan daripada keturunan mereka telah menerima bayaran sepersepuluh hasil daripada Abraham dan telah memberkati Abraham, penerima janji-janji Allah.
[7] Tidak boleh dinafikan bahawa orang yang lebih rendah kedudukannya diberkati oleh orang yang lebih tinggi.
[8] Di sini manusia biasa yang akan mati menerima bayaran sepersepuluh hasil, tetapi di sana dia menerimanya, yang telah disaksikan hidup berterusan.
[9] Lewi yang menerima bayaran sepersepuluh hasil pun boleh dikatakan membayarnya melalui Abraham,
[10] kerana dia masih dalam sulbi moyangnya apabila Melkisedek berjumpa dengannya.
[11] Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun?
[12] Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat.
[13] Dia yang disebut berkaitan segala ini datang daripada suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di mazbah.
[14] Jelas bahawa Tuhan kita keturunan Yehuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam.
[15] Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi,
[16] yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan.
[17] Tentang Dia, telah disaksikan: "Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek."
[18] Perintah dahulu telah terbatal disebabkan lemah dan tidak berguna,
[19] kerana hukum Taurat tidak menyempurnakan apa-apa pun. Di samping itu, telah dibawa masuk harapan yang lebih baik, yang membawa kita lebih dekat kepada Allah.
[20] Dan semua ini tidaklah dilakukan tanpa sumpah. Imam-imam lain telah diangkat tanpa sumpah.
[21] Akan tetapi, Yesus Kristus telah menjadi imam dengan sumpah daripada Allah yang berfirman kepada-Nya: "Tuhan telah bersumpah dan tidak akan mengubah ketetapan: 'Engkau menjadi imam selama-lamanya.' "
[22] Dengan demikian Yesus menjadi jaminan yang lebih kukuh bagi perjanjian yang lebih baik.
[23] Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan.
[24] Tetapi Yesus, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah.
[25] Oleh itu, Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka.
[26] Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga;
[27] Imam besar yang dahulu perlu mempersembahkan korban setiap hari, mula-mula untuk menghapuskan dosa mereka sendiri dan kemudian dosa orang lain. Tetapi Dia tidak perlu berbuat demikian. Dia telah melakukannya sekali untuk selama-lamanya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya.
[28] Hukum Taurat melantik manusia biasa dengan segala kelemahannya untuk menjadi imam besar. Tetapi firman dan sumpah Allah, yang datang selepas hukum Taurat, melantik Anak yang telah disempurnakan untuk selama-lamanya.