[1] Setiap imam besar daripada kalangan manusia dilantik untuk mewakili manusia dalam hal-hal yang berkaitan dengan Allah, supaya dia dapat memberikan persembahan dan korban untuk menghapuskan dosa.
[2] Dia dapat merasakan belas kasih kepada mereka yang jahil dan sesat, kerana dia sendiri menghadapi kelemahan diri.
[3] Oleh itu, dia dikehendaki membuat persembahan bukan sahaja untuk menghapuskan dosa orang lain tetapi juga dosanya sendiri.
[4] Tiada sesiapa pun mengambil kehormatan ini untuk dirinya, kecuali yang dipanggil oleh Allah, seperti Harun.
[5] Demikian jugalah Kristus, Dia tidak memuliakan diri-Nya untuk menjadi Imam Besar, tetapi Allah telah berfirman kepada-Nya: "Engkau Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu."
[6] Allah berfirman juga di suatu tempat lagi: "Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek."
[7] Ketika Yesus hidup sebagai manusia, Dia telah berdoa dan merayu dengan ratap tangis kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan-Nya daripada kematian, dan Allah telah mendengar-Nya kerana kesalihan-Nya.
[8] Sungguhpun Dia Anak, namun Dia belajar taat melalui segala penderitaan-Nya.
[9] Setelah Dia dijadikan sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua yang mematuhi-Nya.
[10] Dia dipanggil Allah menjadi Imam Besar menurut peraturan Melkisedek.
[11] Tentang ini kami ada banyak untuk dikatakan, namun sukar hendak diterangkan, kerana pendengaranmu sudah tumpul.
[12] Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang asas-asas pertama firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal.
[13] Orang yang hanya boleh minum susu itu tidak mahir dalam ajaran tentang perbenaran, kerana dia masih bayi.
[14] Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akal mereka membezakan baik dengan buruk.