[1] Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita.
[2] Marilah kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah.
[3] Fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati.
[4] Dalam perjuangan melawan dosa, kamu belum lagi bertahan sehingga tumpah darahmu.
[5] Kamu telah melupakan nasihat yang disampaikan kepadamu seperti kepada anak-anak sendiri: "Anakku, jangan pandang ringan pengajaran Tuhan, dan jangan tawar hati apabila Dia menegurmu,
[6] kerana Tuhan mengajari orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum sesiapa yang diterima-Nya sebagai anak."
[7] Jika kamu tahan diajari, Allah memperlakukan kamu sebagai anak; kerana anak manakah yang tidak diajari oleh bapanya?
[8] Tetapi jika kamu tidak diajari, sedangkan orang lain menerima pengajaran, maka kamu ialah anak haram dan bukanlah anak yang sah.
[9] Tambahan pula, kita mempunyai bapa di dunia yang mengajari kita dan kita menghormati mereka. Tidakkah sepatutnya kita lebih rela lagi tunduk kepada Bapa segala roh untuk hidup?
[10] Bapa kita di dunia mengajari kita beberapa waktu menurut apa yang terasa baik bagi mereka. Tetapi Tuhan mengajari kita untuk menguntungkan kita, supaya kita mendapat sebahagian kesucian-Nya.
[11] Tiada pengajaran yang menggembirakan ketika dilaksanakan; semuanya terasa teruk. Tetapi kemudiannya pengajaran itu menghasilkan buah perbenaran yang mendatangkan rasa aman kepada mereka yang telah dididik dengannya.
[12] Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah,
[13] serta buatkan lorong yang lurus bagi kakimu, supaya yang tempang tidak terpelecok tetapi sembuh.
[14] Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan.
[15] Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar.
[16] Janganlah ada di antaramu pencabul atau menjadi durjana seperti Esau, yang menjualkan hak warisannya untuk sesuap makanan.
[17] Kamu ketahui bahawa kemudiannya, apabila dia hendak mewarisi berkat itu, dia ditolak, kerana dia tidak mendapat ruang untuk bertaubat, walaupun dia memohon berkat itu dengan air mata.
[18] Kamu tidak pernah datang ke gunung yang dapat disentuh dan menyala dengan api, ke dalam gelap-gelita serta ribut taufan,
[19] dan bunyi sangkakala bersama suara yang menuturkan kata-kata, sehingga sekalian yang mendengarnya merayu supaya kata-kata itu tidak dilafazkan lagi kepada mereka.
[20] Mereka tidak tahan mendengar apa yang diperintahkan: "Jika seekor binatang pun menyentuh gunung ini, ia mesti direjam dengan batu atau ditembusi dengan anak panah."
[21] Penglihatan itu begitu menggerunkan sehingga Musa berkata, "Aku amat ketakutan dan menggeletar."
[22] Tetapi kamu telah datang ke Gunung Sion dan ke kota Allah yang hidup, Yerusalem yang di syurga, kepada para malaikat yang tidak terkira banyaknya,
[23] kepada perhimpunan besar dan kepada jemaah anak sulung yang didaftarkan di syurga, kepada Allah Hakim ke atas sekaliannya, kepada roh-roh orang benar yang telah disempurnakan,
[24] kepada Yesus, Pengantara perjanjian baru, dan kepada darah renjisan yang menuturkan perkara-perkara yang lebih baik daripada darah Habel.
[25] Jangan sekali-kali kamu ingkar kepada Dia yang bersuara. Mereka yang ingkar kepada Dia yang bersuara di bumi tidak dapat lari daripada kebinasaan. Lebih-lebih lagi dengan kita, jika kita berpaling daripada Dia yang bersuara dari syurga.
[26] Dulu suara-Nya menggoncang bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji: "Sekali lagi Aku menggoncang bukan sahaja bumi tetapi juga syurga."
[27] "Sekali lagi" ini bermaksud bahawa segala yang digoncang, iaitu semua benda buatan akan dihapuskan manakala segala yang tidak dapat digoncang akan tetap wujud.
[28] Oleh sebab kita menerima sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang, biarlah kita mendapat kasih kurnia, kerana dengannya kita dapat beribadat kepada Allah secara yang diredai-Nya, dengan penuh hormat dan takut akan Dia.
[29] Allah kita adalah api yang menghanguskan.