[1] Dengan demikian, oleh sebab janji untuk masuk ke dalam peristirahatan-Nya tetap wujud, kita haruslah bimbang kalau-kalau ada di antaramu yang dikira tidak layak.
[2] Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang didengar mereka tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman.
[3] Kita yang telah beriman memang masuk ke dalam peristirahatan itu, sebagaimana firman-Nya: "Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, 'mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku,' " walaupun pekerjaan-Nya telah selesai sejak dunia diasaskan.
[4] Allah telah berfirman demikian di suatu tempat tentang hari ketujuh: "Dan Allah beristirahat pada hari ketujuh daripada segala pekerjaan-Nya."
[5] Kemudian di sini pula: "Mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku."
[6] Memandangkan sebilangan manusia pasti masuk ke dalam peristirahatan itu, dan mereka yang terlebih dahulu mendengar perkhabaran Injil tidak masuk disebabkan mereka ingkar,
[7] maka Dia menetapkan satu hari lain, dalam firman-Nya kepada Daud, "Hari ini," setelah sekian lama, iaitu: "Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu."
[8] Andainya Yosua telah memberikan istirahat kepada mereka, Allah tidak akan berfirman kemudian tentang satu hari lain.
[9] Oleh itu, masih ada peristirahatan Sabat untuk umat Allah.
[10] Orang yang telah masuk ke dalam peristirahatan-Nya juga telah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana Allah telah berhenti daripada pekerjaan-Nya.
[11] Jadi, marilah kita berusaha untuk masuk ke dalam peristirahatan itu, supaya jangan ada yang gagal kerana mengikut contoh mereka yang ingkar.
[12] Firman Allah hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, menembusi ke garis pemisah nyawa dan roh, sendi dan sumsum, serta mengenal antara fikiran dan niat dalam hati.
[13] Tidak ada makhluk yang terlindung daripada penglihatan-Nya. Segala-galanya terdedah dan terbuka kepada mata Allah; kepada-Nya nanti kita dipertanggungkan tentang segala perlakuan kita.
[14] Memandangkan kita mempunyai Imam Besar yang agung yang telah melalui syurga, iaitu Yesus Anak Allah, marilah kita berpegang teguh pada pengakuan kita.
[15] Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa.
[16] Oleh itu, marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya.