[1] Oleh itu, kita harus memberikan perhatian yang lebih kepada segala yang telah kita dengar; takut kita hanyut kelak.
[2] Jika firman yang disampaikan melalui para malaikat terbukti benar, dan setiap pelanggaran serta keingkaran mendapat balasan yang setimpal,
[3] bagaimana kita mungkin terlepas daripadanya jika kita mengabaikan penyelamatan yang sedemikian besar? Pada mulanya Tuhan telah menyebutkannya, dan kemudian orang yang telah mendengar kata-kata-Nya itu turut mengesahkannya.
[4] Allah juga telah memberikan kesaksian dengan pelbagai tanda, keajaiban, mukjizat dan pengurniaan Roh Kudus, menurut kehendak-Nya sendiri.
[5] Dia tidak meletakkan dunia akan datang, yang kita perkatakan ini, di bawah takluk para malaikat.
[6] Tetapi terdapat seorang yang telah memberikan kesaksian di suatu tempat: "Apakah manusia maka Engkau memberinya perhatian, Apakah anak manusia maka Engkau memeliharanya?
[7] Engkau telah menjadikannya rendah sedikit daripada malaikat; Engkau memahkotakannya dengan kemuliaan dan kehormatan,
[8] dan Engkau meletakkan segala-galanya tertakluk di bawah kakinya." Dengan meletakkan segalanya tertakluk di bawahnya, Allah tidak meninggalkan suatu apa pun di luar kekuasaannya. Tetapi sekarang kita masih belum melihat segala-galanya diletakkan di bawahnya.
[9] Tetapi kita melihat Yesus, yang dijadikan rendah sedikit daripada malaikat, dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan kerana telah menderita kematian; supaya Dia, dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia.
[10] Allah, yang segala-galanya adalah untuk-Nya dan segala-galanya dicipta oleh-Nya, membawa beberapa ramai anak-Nya kepada kemuliaan. Memang wajarlah Dia menjadikan Perintis penyelamatan mereka itu sempurna melalui penderitaan.
[11] Dia yang menyucikan dan mereka yang disucikan adalah satu asalnya. Oleh itu, Dia tidak malu memanggil mereka saudara-saudara.
[12] Dia berkata: "Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudara-Ku; Di tengah-tengah perhimpunan Aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu."
[13] Dan juga: "Aku akan meletakkan kepercayaan-Ku kepada-Nya." Seterusnya: "Lihatlah, ini Aku dan anak-anak yang telah diberikan Allah kepada-Ku."
[14] Oleh sebab anak-anak itu telah mendapat tubuh manusia, Dia sendiri pun mendapatkannya, supaya melalui kematian Dia dapat memusnahkan Iblis yang berkuasa atas kematian,
[15] dan membebaskan mereka yang tertakluk kepada belenggunya seumur hidup kerana takut mati.
[16] Dia tidak memberi pertolongan kepada para malaikat, tetapi Dia memberi pertolongan kepada keturunan Abraham.
[17] Dengan demikian, dalam segala hal Dia harus disamakan dengan saudara-saudara-Nya, supaya Dia menjadi Imam Besar yang berpengasihan dan setia dalam segala yang berkenaan dengan Allah, untuk menebus dosa umat manusia.
[18] Oleh sebab Dia sendiri telah menderita, menghadapi godaan, maka Dia dapat menolong orang yang menghadapi godaan.