[1] Saul menyetujui kematian Stefanus. Pada masa itu penganiayaan yang dahsyat dilakukan terhadap jemaah di Yerusalem; dan mereka pun bercerai-berai di serata Yudea dan Samaria, kecuali para rasul.
[2] Beberapa orang yang salih mengebumikan Stefanus dan amat meratapi kematiannya.
[3] Saul berusaha untuk menghapuskan jemaah; dia memasuki setiap rumah dan menyeret keluar lelaki perempuan lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.
[4] Mereka yang bercerai-berai pergi ke merata-rata menyampaikan firman.
[5] Kemudian Filipus pergi ke sebuah kota di Samaria dan memberitakan Kristus kepada orang di situ.
[6] Apabila orang ramai mendengar apa yang dikatakan Filipus dan melihat segala tanda keajaiban yang dilakukannya, mereka semua memperhatikan dengan sepenuh hati apa yang dikatakannya.
[7] Roh-roh jahat melolong sambil keluar daripada ramai orang yang kerasukan, manakala sebilangan besar yang lumpuh dan tempang telah disembuhkan.
[8] Seluruh kota itu amat bersukacita.
[9] Akan tetapi, ada seorang lelaki bernama Simon, yang dahulunya mengamalkan sihir di situ dan mengagumkan orang Samaria serta mengaku dirinya seorang yang hebat.
[10] Mereka semua, daripada yang paling rendah tarafnya hinggalah kepada yang tertinggi, mendengar katanya. Mereka berkata, "Orang ini dikenal sebagai Kuasa Besar Allah."
[11] Mereka mendengar katanya kerana dia telah lama mengagumkan mereka dengan sihirnya.
[12] Namun apabila mereka mempercayai Filipus ketika dia mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah dan nama Yesus Kristus, mereka pun dibaptiskan, baik lelaki mahupun perempuan.
[13] Kemudian Simon sendiri percaya; dan setelah dibaptiskan dia terus menyertai Filipus dan amat kagum melihat mukjizat-mukjizat serta tanda yang dilakukan.
[14] Apabila para rasul di Yerusalem mendengar bahawa orang Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana.
[15] Setelah sampai di situ, kedua-duanya berdoa semoga mereka menerima Roh Kudus,
[16] kerana mereka belum lagi dipenuhi oleh-Nya. Mereka baru dibaptiskan sahaja dengan nama Tuhan Yesus.
[17] Kemudian Petrus dan Yohanes meletakkan tangan atas mereka lalu mereka menerima Roh Kudus.
[18] Setelah Simon melihat betapa Roh Kudus diberikan ketika para rasul meletakkan tangan, dia menawarkan wang kepada mereka
[19] sambil berkata, "Berilah aku kuasa itu juga, supaya sesiapa yang kuletakkan tangan atasnya akan menerima Roh Kudus."
[20] Tetapi Petrus berkata kepadanya, "Punahlah wangmu bersamamu, kerana kamu menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang!
[21] Kamu tidak ada bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak ikhlas di mata Allah.
[22] Oleh itu, bertaubatlah daripada kejahatanmu itu, dan berdoalah kepada Tuhan semoga kamu dapat diampuni kerana niat dalam hatimu itu;
[23] kerana kulihat kamu diracuni perasaan kepahitan dan dibelenggu dosa."
[24] Simon menjawab, "Berdoalah kepada Tuhan untukku, supaya apa yang kamu sebutkan tadi tidak menimpaku."
[25] Setelah mereka memberikan kesaksian dan menyampaikan firman Tuhan, mereka pun pulang ke Yerusalem, sambil menyebarkan Injil tentang Yesus di banyak kampung orang Samaria.
[26] Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, "Bangkit dan pergilah ke arah selatan di jalan antara Yerusalem dengan Gaza. Sekarang tempat itu lengang."
[27] Dia pun bangkit lalu pergi. Ada seorang Ethiopia, seorang sida-sida, yang besar pangkatnya di bawah perintah Kandake, ratu negeri Ethiopia, dan ditugaskan menjaga seluruh perbendaharaannya. Dia telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat.
[28] Ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dan sambil duduk di dalam rata kudanya, dia membaca kitab Nabi Yesaya.
[29] Roh Kudus berkata kepada Filipus, "Pergi dekati rata itu."
[30] Filipus pun berlari mendapatkannya lalu mendengarnya membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus berkata, "Fahamkah apa yang kamu baca itu?"
[31] Jawabnya, "Bagaimana aku dapat memahaminya, kecuali ada orang yang membimbingku?" Dia pun mengajak Filipus naik duduk di sisinya.
[32] Bahagian Kitab Suci yang dibacanya ialah: "Seperti domba yang dibawa untuk disembelih, seperti anak domba yang senyap di hadapan orang yang menggunting bulunya, maka Dia tidak membuka mulut-Nya.
[33] Dia dihina dan keadilan direntap daripada-Nya, maka siapa akan mengisahkan keturunan-Nya? Nyawa-Nya direnggut dari muka bumi."
[34] Sida-sida itu berkata kepada Filipus, "Aku bertanya kepadamu, tentang siapakah nabi itu bercakap, tentang dirinya atau seseorang lain?"
[35] Filipus pun membuka mulutnya: bermula dari bahagian Kitab Suci itu, dia menyampaikan berita baik tentang Yesus kepada sida-sida itu.
[36] Sedang mereka meneruskan perjalanan, mereka sampai di suatu tempat yang berair. Sida-sida itu berkata, "Lihat, di sini ada air. Apa yang menghalang aku daripada dibaptiskan?"
[37] Filipus berkata, "Jika kamu percaya sepenuh hati, kamu boleh dibaptiskan." Sida-sida itu menjawab, "Aku percaya bahawa Yesus Kristus itu Anak Allah."
[38] Lalu dia mengarahkan rata itu dihentikan. Dia bersama Filipus turun ke dalam air, lalu Filipus membaptisnya.
[39] Setelah mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita.
[40] Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil menyampaikan Injil di segala kota hingga sampai di Kaisarea.