Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:40

[1] Kepada Teofilus, dahulu dalam kitabku yang pertama aku telah menceritakan segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus,

[2] dari awal pelayanan-Nya hingga ke hari Dia diangkat ke syurga. Sebelumnya, Dia telah memberikan perintah melalui Roh Kudus kepada para rasul yang telah dipilih-Nya.

[3] Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari, dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah.

[4] Pada suatu hari ketika Yesus bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Yerusalem. Kata-Nya, "Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku;

[5] kerana Yohanes telah membaptis orang dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus tidak berapa lama lagi."

[6] Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Yesus, "Ya Tuhan, pada masa inikah Tuhan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?"

[7] Dia berkata kepada mereka, "Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri.

[8] Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi."

[9] Setelah Dia berkata demikian, di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka.

[10] Sedang mereka merenung ke langit ketika Dia diangkat, tiba-tiba dua orang yang berpakaian putih berdiri di samping mereka.

[11] Orang itu berkata, "Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Yesus telah diangkat ke syurga daripada kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak."

[12] Setelah itu, para rasul pun kembali ke Yerusalem dari bukit bernama Zaitun yang dekat dengan kota itu, jaraknya perjalanan sehari Sabat.

[13] Setibanya mereka di Yerusalem, mereka naik ke bilik atas tempat mereka menumpang. Mereka ialah Petrus, Yohanes, Yakobus, Andreas; Filipus dan Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, dan Simon, orang Patriot; serta Yudas anak Yakobus.

[14] Mereka semuanya dengan sehati terus-menerus berdoa, bersama orang perempuan dan Maria ibu Yesus, serta saudara-saudara-Nya.

[15] Pada masa itu Petrus berdiri dalam kalangan murid Yesus (kesemuanya yang berhimpun kira-kira seratus dua puluh orang) lalu berkata,

[16] "Saudara-saudara, pastilah terlaksana Kitab Suci yang dahulu disampaikan oleh Roh Kudus melalui lidah Daud tentang Yudas, yang menjadi panduan kepada orang yang menangkap Yesus.

[17] Dia telah dianggap sebahagian daripada kita dan diberi jawatan dalam pekerjaan kita ini."

[18] (Dia memperoleh sekeping tanah dengan upah durjananya; dia jatuh terjerumus, bahagian pertengahan tubuhnya pecah dan segala isi perutnya terburai.

[19] Seluruh penduduk Yerusalem mendapat tahu hal itu lalu menamakan tanah itu Hakal Dama dalam bahasa mereka, iaitu Tanah Darah.)

[20] "Sudah tersurat dalam kitab Mazmur, 'Biarlah tempat kediamannya menjadi sepi; Dan jangan sesiapa pun tinggal di situ,' dan, 'Biarlah orang lain mengambil jawatannya.'

[21] Oleh itu, antara orang yang telah berserta dengan kita sepanjang masa Tuhan Yesus, keluar masuk bersama kita,

[22] dari masa Yesus dibaptiskan oleh Yohanes sampailah ke hari Dia diangkat naik daripada kalangan kita, seorang daripada mereka haruslah menjadi saksi di samping kita tentang kebangkitan-Nya."

[23] Mereka mencadangkan dua orang: Yusuf yang juga dipanggil Barsabas (juga dikenali sebagai Yustus), dan Matias.

[24] Mereka pun berdoa, "Ya Tuhan yang mengetahui hati sekalian manusia, tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini Engkau pilih

[25] untuk memegang jawatan ini serta menjalankan kerja kerasulan bagi menggantikan Yudas; sebabnya Yudas telah meninggalkan jawatan dan pekerjaan ini untuk pergi ke tempat yang wajar baginya."

[26] Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.

Kisah Para Rasul — Chapters