[1] Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat.
[2] Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk.
[3] Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka.
[4] Mereka semuanya dipenuhi Roh Kudus lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu.
[5] Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem.
[6] Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya.
[7] Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, "Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea?
[8] Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri?
[9] Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil.
[10] Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Roma,
[11] baik berbangsa Yahudi mahupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan."
[12] Oleh itu, mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, "Apakah ertinya semua ini?"
[13] Ada pula yang mengejek, "Semua orang ini mabuk air anggur manis."
[14] Petrus berdiri bersama sebelas rasul lagi lalu berkata dengan suara yang lantang, "Saudara-saudara orang Yahudi dan semua penduduk di Yerusalem, ketahuilah hal ini serta dengarlah baik-baik kata-kataku.
[15] Mereka ini bukanlah mabuk seperti saudara-saudara sangka, kerana hari baru jam ketiga.
[16] Tetapi inilah yang dikatakan oleh Nabi Yo'el:
[17] 'Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia. Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, Orang mudamu akan melihat penglihatan, Orang tuamu akan bermimpi.
[18] Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu, lalu mereka bernubuat.
[19] Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan tanda di bumi, darah dan api serta kepulan-kepulan asap.
[20] Matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi seperti darah, sebelum tiba hari Tuhan yang besar dan mulia.
[21] Dan terlaksanalah kelak, bahawa sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.'
[22] Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu.
[23] Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana.
[24] Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya.
[25] Kerana Daud telah berkata tentang-Nya: 'Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah.
[26] Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan bersandar pada harapan.
[27] Kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput.
[28] Engkau telah menunjukkan jalan hidup, dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.'
[29] Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia sudah meninggal dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini.
[30] Oleh sebab dia seorang nabi dan menyedari bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mendudukkan seorang daripada benih keturunan jasadnya di atas takhtanya.
[31] Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan Kristus, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput.
[32] Allah telah membangkitkan Yesus ini dan kami semua menyaksikannya.
[33] Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa Dia telah menerima Roh Kudus yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang.
[34] Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian, 'Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku,
[35] sehingga Kujadikan musuh-musuh-Mu alas kaki-Mu.'
[36] Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus."
[37] Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, "Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?"
[38] Petrus pun berkata kepada mereka, "Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu dibaptiskan atas nama Yesus Kristus supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Kudus;
[39] kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita."
[40] Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, "Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini."
[41] Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati dibaptiskan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang.
[42] Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul, dan pada persaudaraan, pembahagian roti dan doa.
[43] Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta tanda dilakukan melalui para rasul itu.
[44] Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka,
[45] serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang.
[46] Demikianlah setiap hari mereka di Bait Suci dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati,
[47] sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.