[1] Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa bangsa-bangsa asing juga telah menerima firman Allah.
[2] Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya.
[3] Mereka berkata, "Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!"
[4] Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu:
[5] "Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.
[6] Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung di langit.
[7] Aku mendengar suara berkata, 'Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.'
[8] Aku berkata, 'Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.'
[9] Suara dari syurga berkata pula kepadaku, 'Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.'
[10] Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.
[11] Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang.
[12] Roh Kudus menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah orang itu.
[13] Kemudian orang itu bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, 'Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
[14] Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.'
[15] Apabila aku mula bercakap, Roh Kudus memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.
[16] Ketika itu aku teringat kata-kata Tuhan: 'Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus.'
[17] Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?"
[18] Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, "Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada bangsa-bangsa asing juga untuk bertaubat dan mendapat hidup."
[19] Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Fenisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi;
[20] tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu mengkhabarkan berita baik tentang Tuhan Yesus kepada orang Yunani.
[21] Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.
[22] Jemaah di Yerusalem mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.
[23] Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati.
[24] Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.
[25] Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul;
[26] setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian.
[27] Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Yerusalem ke Antiokhia.
[28] Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Kudus bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius.
[29] Para murid Yesus membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea.
[30] Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.