Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:11

[1] Paulus dan Silas melalui Amfipolis dan Apolonia lalu sampai di Tesalonika. Di situ ada saumaah orang Yahudi.

[2] Seperti biasa, Paulus masuk dan berbincang dengan orang di situ tiga hari Sabat berturut-turut tentang ayat-ayat Kitab Suci.

[3] Dia menyatakan dan menunjukkan bahawa Kristus mengalami kematian dan kemudian bangkit daripada kematian; juga katanya, "Yesus yang kusebutkan kepadamu inilah Kristus."

[4] Beberapa orang di situ percaya lalu bersahabat dengan Paulus dan Silas; antara mereka terdapat sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah serta cukup ramai wanita yang terkemuka.

[5] Tetapi orang Yahudi berasa dengki lalu mengumpulkan orang jahat dan memulakan huru-hara di kota itu; mereka menyerang rumah Yason untuk membawa keluar rasul-rasul itu menghadap orang ramai.

[6] Apabila mereka tidak menemui Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang lagi murid Yesus ke hadapan pegawai-pegawai yang berkuasa sambil berseru, "Orang ini telah menimbulkan kekacauan di dunia dan sekarang mereka datang pula ke sini

[7] lalu dialu-alukan oleh Yason ke rumahnya. Mereka ini melanggar undang-undang Kaisar Roma dengan mengatakan ada orang lain yang menjadi raja, bernama Yesus."

[8] Apabila orang ramai dan pegawai kerajaan mendengar kata-kata itu, mereka pun gempar.

[9] Mereka menerima ikat jamin untuk Yason dan yang lain lalu membenarkan mereka pergi.

[10] Para murid Yesus itu segera menyuruh Paulus dan Silas bertolak ke Beria pada waktu malam. Setelah sampai di sana, mereka masuk ke saumaah orang Yahudi.

[11] Orang Yahudi di situ lebih mulia rohaninya daripada yang di Tesalonika kerana mereka menerima firman Allah dengan amat sukacita dan menyelidik Kitab Suci untuk memastikan setiap kebenaran yang dikatakan Paulus.

[12] Oleh yang demikian ramailah antara mereka yang percaya, baik wanita-wanita Yunani yang berkedudukan tinggi mahupun kaum lelaki.

[13] Akan tetapi apabila orang Yahudi di Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus menyebarkan firman Allah di Beria juga, mereka pergi menghasut dan mengapi-apikan orang di situ supaya merusuh.

[14] Para murid Yesus di Beria segera menyuruh hantar Paulus ke pantai manakala Silas dan Timotius masih di Beria.

[15] Orang yang menghantar Paulus itu membawanya hingga ke Atena; setelah menerima arahan Paulus menyuruh Silas dan Timotius segera menyertainya, orang itu pun pulang ke Beria.

[16] Sementara Paulus menantikan kedua-duanya di Atena, dia berasa amat sedih melihat kota itu penuh dengan berhala.

[17] Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang takut akan Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya.

[18] Beberapa orang yang berpegang kepada ajaran Epikuros dan Stoa berhujah dengannya. Ada yang berkata, "Apa yang dibebelkannya itu?" Yang lain berkata, "Nampaknya orang ini menyebarkan berita tentang tuhan-tuhan orang bangsa asing." Demikianlah kata mereka kerana Paulus mengkhabarkan berita baik tentang Yesus dan kebangkitan daripada kematian.

[19] Mereka membawanya ke Areopagus sambil berkata, "Bolehkah kami mengetahui apakah ajaran baru yang kamu katakan ini?

[20] Kamu menyampaikan ke telinga kami perkara-perkara yang aneh; oleh itu, kami hendak mengetahui ertinya segala perkara ini."

[21] (Semua orang Atena dan orang asing di situ asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru).

[22] Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, "Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan.

[23] Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: 'Kepada Tuhan yang tidak diketahui.' Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.

[24] Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia,

[25] dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.

[26] Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup.

[27] Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita.

[28] 'Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.' Sebagaimana kata penyair bangsamu, 'Kita ialah anak-Nya.'

[29] Oleh sebab kita keturunan Allah, tidak patut kita sangka keilahian-Nya seperti patung yang serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia.

[30] Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat;

[31] kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian."

[32] Apabila mendengar "membangkitkan-Nya daripada kematian", ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, "Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu."

[33] Selepas itu, Paulus keluar daripada perhimpunan itu.

[34] Namun demikian, ada beberapa orang yang menjadi pengikut Paulus dan percaya akan kata-katanya; di antaranya ialah Dionisius anggota Areopagus, dan seorang wanita bernama Damaris, serta beberapa orang lagi.

Kisah Para Rasul — Chapters