Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:58

[1] "Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur.

[2] Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya berbuah lebih lebat lagi.

[3] Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu.

[4] Tetaplah di dalam-Ku seperti Aku di dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok anggur. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap di dalam-Ku.

[5] Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa.

[6] Sesiapa yang tidak tetap di dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar.

[7] Sekiranya kamu tetap di dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap di dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan.

[8] Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar murid-Ku.

[9] Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku.

[10] Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya.

[11] Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu.

[12] Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu.

[13] Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.

[14] Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan.

[15] Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu.

[16] Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu.

[17] Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri."

[18] "Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu.

[19] Andainya kamu milik dunia, maka dunia akan mengasihimu seperti kepunyaannya sendiri. Tetapi Aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu.

[20] Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, 'Seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya.' Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga.

[21] Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku.

[22] Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka.

[23] Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga.

[24] Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku.

[25] Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat dalam Taurat mereka: 'Mereka membenci-Ku tanpa alasan.'

[26] Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku.

[27] Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.

Yohanes — Chapters