Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:38

[1] Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah.

[2] Dia bersama Allah pada permulaan.

[3] Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya.

[4] Hidup ada dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia.

[5] Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.

[6] Allah mengutus seorang bernama Yohanes.

[7] Dia datang untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia.

[8] Dia sendiri bukanlah cahaya itu, dia datang untuk memberikan kesaksian tentang-Nya.

[9] Itulah cahaya benar yang menerangi setiap manusia, sedang mendatangi dunia.

[10] Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya.

[11] Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya.

[12] Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya.

[13] Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah.

[14] Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.

[15] Yohanes memberikan kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, "Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku."

[16] Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia demi kasih kurnia;

[17] kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Yesus Kristus.

[18] Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Dia Yang Esa, yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.

[19] Inilah kesaksian Yohanes, apabila orang Yahudi di Yerusalem mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, "Siapakah kamu?"

[20] Yohanes mengaku, "Aku bukanlah Kristus."

[21] Mereka bertanya, "Jadi, kamu ini siapa? Elia?" "Bukan," jawabnya. "Adakah kamu Nabi?" Dia menjawab, "Bukan."

[22] Kemudian mereka berkata, "Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?"

[23] Yohanes menjawab, "Aku ini satu suara yang berseru di gurun, 'Luruskanlah jalan untuk Tuhan,' sebagaimana kata Nabi Yesaya."

[24] Antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi.

[25] Mereka terus menyoal, "Mengapakah kamu membaptis orang, kiranya kamu bukan Kristus, bukan Elia dan bukan pula Nabi?"

[26] Yohanes menjawab, "Aku membaptis dengan air, tetapi dalam kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali,

[27] iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun."

[28] Semua ini terjadi di Betania, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yohanes membaptis orang.

[29] Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, "Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!

[30] Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku.

[31] Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel."

[32] Yohanes memberikan kesaksian: "Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya.

[33] Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, 'Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.'

[34] Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah."

[35] Pada hari yang berikut, Yohanes berada di situ lagi bersama dua orang muridnya.

[36] Dia melihat lagi Yesus lalu di tempat itu dan dia berseru, "Lihatlah Anak Domba Allah!"

[37] Apabila dua orang murid Yohanes itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Yesus.

[38] Yesus menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, "Apa hajatmu?" Mereka menjawab, "Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?"

[39] "Marilah lihat," kata Yesus. Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira jam kesepuluh. Mereka pun tinggal bersama Yesus pada hari itu.

[40] Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikut Yesus ialah Andreas, saudara Simon Petrus.

[41] Andreas segera mencari Simon, saudaranya, dan berkata, "Kami telah bertemu dengan Mesias!" ("Mesias" bererti Kristus).

[42] Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Yesus. Yesus memandang Simon lalu berkata, "Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan digelar Kefas." (Kefas sama ertinya dengan Petrus.)

[43] Pada keesokan harinya, Yesus membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, "Ikutlah Aku."

[44] Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Betsaida.

[45] Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, "Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Yesus anak Yusuf dari Nazaret."

[46] Tetapi Natanael berkata, "Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?" "Marilah lihat," balas Filipus.

[47] Ketika Yesus melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, "Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya."

[48] Natanael bertanya, "Bagaimana Engkau mengenal aku?" Yesus menjawab, "Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu."

[49] Natanael berseru, "Rabbi, Engkau Anak Allah! Engkau Raja bangsa Israel!"

[50] Yesus berkata, "Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!"

[51] Yesus berkata kepadanya, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Anak Manusia."

Yohanes — Chapters