[1] "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.
[2] Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.
[3] Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.
[4] Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya.
[5] Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya."
[6] Yesus bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
[7] Oleh yang demikian, Yesus berkata, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.
[8] Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.
[9] Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.
[10] Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
[11] Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.
[12] Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.
[13] Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
[14] Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,
[15] sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.
[16] Aku miliki domba-domba lain yang bukan daripada kawanan ini. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
[17] Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.
[18] Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku."
[19] Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.
[20] Sebilangan besar berkata, "Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar kata-Nya?"
[21] Namun demikian, ada yang berkata, "Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?"
[22] Di Yerusalem, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.
[23] Ketika itu musim sejuk, dan Yesus sedang berjalan di serambi Salomo di dalam Bait Suci.
[24] Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, "Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini Kristus?"
[25] Yesus menjawab, "Aku sudah pun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan nama Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang diri-Ku.
[26] Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.
[27] Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.
[28] Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.
[29] Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapa pun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa.
[30] Aku dan Bapa adalah satu."
[31] Selepas itu, orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Yesus.
[32] Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?"
[33] Orang Yahudi itu menjawab, "Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!"
[34] Yesus berkata kepada mereka, "Tidakkah tersurat dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, 'Kamu ialah tuhan'?
[35] Jika Allah menyebut orang sebagai 'ilahi' kerana firman Allah datang kepada mereka, (apa yang tersurat dalam Kitab Suci tidak dapat dibatalkan)
[36] bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, 'Aku Anak Allah'?
[37] Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.
[38] Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa."
[39] Mereka mencuba lagi menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri daripada tangan mereka.
[40] Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yohanes membaptis orang dahulu.
[41] Ramai orang datang kepada Yesus. Mereka berkata, "Yohanes tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar."
[42] Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Yesus.