Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:57

[1] "Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku.

[2] Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu.

[3] Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada.

[4] Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi."

[5] Tomas berkata kepada Yesus, "Tuhan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?"

[6] Yesus menjawab, "Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.

[7] Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya."

[8] Filipus berkata kepada Yesus, "Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami."

[9] Yesus menjawab, "Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, 'Tunjukkanlah Bapa kepada kami?'

[10] Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu.

[11] Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan.

[12] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa.

[13] Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Anak-Nya.

[14] Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan."

[15] "Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku.

[16] Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya.

[17] Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap di dalammu dan akan ada di dalam dirimu.

[18] Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu.

[19] Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab Aku hidup, kamu juga akan hidup.

[20] Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu.

[21] Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya."

[22] Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, "Tuhan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?"

[23] Yesus menjawab, "Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya.

[24] Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.

[25] Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu.

[26] Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu.

[27] Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut.

[28] Kamu telah mendengar Aku berkata, 'Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.' Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku.

[29] Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku.

[30] Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa atas diri-Ku.

[31] Namun demikian, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini."

Yohanes — Chapters