Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:42

[1] Inilah perintah, iaitu segala kanun dan peraturan yang kuajarkan kepadamu atas perintah Tuhan, Allahmu, untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki,

[2] supaya kamu dan anak cucumu takut kepada Tuhan, Allahmu, seumur hidupmu dengan berpegang teguh pada segala kanun serta perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu, dan supaya lanjut umurmu.

[3] Jadi, dengarlah baik-baik, wahai Israel! Laksanakanlah semua itu dengan setia supaya baik keadaanmu dan supaya jumlahmu menjadi sangat ramai di negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, seperti yang telah dijanjikan Tuhan, Allah nenek moyangmu, kepadamu.

[4] Dengarlah, wahai Israel! Tuhan ialah Allah kita. Tuhan itu esa.

[5] Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.

[6] Simpanlah dalam hatimu kata-kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.

[7] Ajarkanlah kesemuanya dengan saksama kepada anak-anakmu dan bicarakanlah semua itu ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun.

[8] Ikatkanlah semua itu sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu,

[9] kemudian tuliskanlah pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu.

[10] Apabila Tuhan, Allahmu, telah membawa engkau masuk ke negeri yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub – kota-kota besar dan baik yang tidak engkau bangunkan,

[11] rumah-rumah yang penuh dengan segala sesuatu yang baik yang tidak kauisi, perigi-perigi yang tidak kaugali, kebun-kebun anggur dan pokok-pokok zaitun yang tidak kautanam – dan engkau makan sampai kenyang,

[12] berhati-hatilah, jangan sampai kaulupakan Tuhan yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.

[13] Takutlah kepada Tuhan, Allahmu, beribadatlah kepada-Nya, dan bersumpahlah demi nama-Nya.

[14] Jangan ikuti tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu,

[15] kerana Tuhan, Allahmu, yang hadir di tengah-tengahmu, sememangnya Allah yang cemburu. Jangan sampai murka Tuhan, Allahmu, menyala atasmu sehingga engkau dipunahkan-Nya dari muka bumi.

[16] Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu, seperti engkau menduga Dia di Masa.

[17] Hendaklah kamu benar-benar berpegang teguh pada perintah-perintah Tuhan, Allahmu, serta segala peringatan dan kanun yang disampaikan-Nya kepadamu.

[18] Lakukanlah apa yang benar dan baik di mata Tuhan, supaya keadaanmu baik dan engkau dapat memasuki serta menduduki negeri yang baik, yang telah Tuhan sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu

[19] dengan mengusir semua musuhmu dari hadapanmu, seperti yang difirmankan Tuhan.

[20] Apabila anakmu bertanya kepadamu pada masa depan yang akan datang, 'Apakah maknanya, ketetapan, kanun dan peraturan yang diperintahkan Tuhan, Allah kita, kepadamu?'

[21] maka katakanlah kepada anakmu, 'Dahulu kita hamba kepada Firaun di Mesir, tetapi Tuhan membawa kita keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat.

[22] Di depan mata kita, Tuhan mengadakan tanda-tanda ajaib serta mukjizat-mukjizat besar yang membawa bencana terhadap Mesir, terhadap Firaun, dan terhadap seisi istananya.

[23] Lalu Dia mengeluarkan kita dari sana, membawa kita masuk ke sini, dan memberikan kepada kita negeri ini, seperti yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyang kita.

[24] Tuhan memerintahkan agar kita melaksanakan segala kanun ini serta takut kepada Tuhan, Allah kita, supaya keadaan kita sentiasa baik dan supaya kita tetap hidup seperti pada hari ini.

[25] Kita akan dinyatakan benar jika kita melaksanakan kesemua perintah itu dengan setia di hadapan Tuhan, Allah kita, seperti yang diperintahkan-Nya kepada kita.'

Ulangan — Chapters