[1] Musa dan para tua-tua Israel memberikan perintah kepada bangsa itu demikian, "Peganglah dengan teguh segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.
[2] Pada hari kamu menyeberangi Sungai Yordan menuju negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu, dirikanlah beberapa batu besar lalu tempelkan lepa pada batu-batu itu.
[3] Setelah kamu menyeberang, tuliskanlah pada batu-batu itu semua kata dalam hukum Taurat ini supaya kamu dapat masuk ke negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu seperti yang dijanjikan Tuhan, Allah nenek moyangmu, kepadamu.
[4] Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, batu-batu itu – seperti kuperintahkan kepadamu pada hari ini – hendaklah kamu dirikan di Gunung Ebal dan tempelkan lepa pada batu-batu itu.
[5] Di sana, hendaklah kamu bangunkan sebuah mazbah yang terbuat daripada batu bagi Tuhan, Allahmu. Jangan kamu gunakan sebarang perkakas besi pada mazbah itu.
[6] Hendaklah mazbah bagi Tuhan, Allahmu, itu dibangunkan daripada batu yang belum dipahat, dan hendaklah di atasnya kaupersembahkan korban-korban bakaran kepada Tuhan, Allahmu.
[7] Persembahkanlah juga korban-korban kedamaian, lalu makanlah semua itu di sana dan bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu.
[8] Tuliskanlah pada batu-batu itu semua kata dalam hukum Taurat ini sejelas-jelasnya."
[9] Kemudian Musa dan para imam Lewi berbicara kepada semua orang Israel, "Diamlah dan dengarlah, wahai orang Israel! Pada hari ini kamu telah menjadi umat Tuhan, Allahmu.
[10] Oleh sebab itu patuhilah Tuhan, Allahmu, dan lakukanlah segala perintah-Nya serta segala kanun-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini."
[11] Pada hari itu juga Musa memberikan perintah kepada bangsa itu,
[12] "Sesudah kamu menyeberangi Sungai Yordan, hendaklah suku-suku ini berdiri di Gunung Gerizim untuk memberkati umat itu: suku Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin.
[13] Dan hendaklah suku-suku ini berdiri di Gunung Ebal untuk menyampaikan kutukan: suku Ruben, Gad, Asyer, Zebulon, Dan, serta Naftali.
[14] Kemudian hendaklah bani Lewi berkata kepada semua orang Israel dengan suara nyaring:
[15] 'Terlaknatlah orang yang membuat patung ukiran atau patung tuangan daripada logam – suatu kekejian bagi Tuhan, buatan tangan seorang tukang – dan yang mendirikannya secara sembunyi-sembunyi.' Lalu seluruh bangsa itu harus menjawab, 'Amin!'
[16] 'Terlaknatlah orang yang mengaibkan ayah dan ibunya.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[17] 'Terlaknatlah orang yang memindahkan tanda sempadan tanah jirannya.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[18] 'Terlaknatlah orang yang menyesatkan orang buta di jalan.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[19] 'Terlaknatlah orang yang memutarbalikkan keadilan kaum pendatang, anak yatim, dan balu.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[20] 'Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan isteri ayahnya kerana dia telah mengaibkan ayahnya.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[21] 'Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan apa-apa pun jenis haiwan.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[22] 'Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan saudaranya perempuan, iaitu anak ayahnya atau anak ibunya.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[23] 'Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan ibu mertuanya.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[24] 'Terlaknatlah orang yang membunuh jirannya dengan sembunyi-sembunyi.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[25] 'Terlaknatlah orang yang menerima rasuah untuk membunuh orang yang tidak bersalah.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'
[26] 'Terlaknatlah orang yang tidak menegakkan perkataan hukum Taurat ini dengan melaksanakannya.' Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, 'Amin!'