Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 11:07

[1] "Berikanlah perhatian, wahai langit, aku hendak berkata-kata. Dengarlah, wahai bumi, ucapan mulutku.

[2] Semoga pengajaranku menitik seperti hujan dan perkataanku menitis ke atas rumput muda, bagai hujan lebat ke atas tumbuh-tumbuhan.

[3] Aku hendak memasyhurkan nama Tuhan. Nyatakanlah keagungan Allah kita!

[4] Dialah Batu Pejal yang sempurna pekerjaan-Nya kerana adil segala jalan-Nya. Allah yang setia, tanpa kecurangan. Dia adil dan benar.

[5] Mereka berbuat kekejian terhadap Dia. Oleh sebab noda mereka, mereka bukan lagi anak-anak-Nya, suatu keturunan yang khianat dan rosak fikiran.

[6] Begitukah balasanmu terhadap Tuhan, wahai bangsa yang bodoh dan tidak peka? Bukankah Dia Bapamu yang menebus kamu, yang menjadikan dan mengukuhkan kamu?

[7] Ingatlah zaman dahulu, pertimbangkanlah tahun-tahun angkatan yang lalu. Tanyalah kepada ayahmu, maka dia akan menunjukkan kepadamu; kepada para tua-tuamu, maka mereka akan memberitahu kamu.

[8] Ketika Yang Maha Tinggi membahagi-bahagikan harta pusaka kepada bangsa-bangsa, ketika Dia memisah-misahkan anak manusia, Dia menetapkan daerah bangsa-bangsa menurut jumlah orang Israel.

[9] Tetapi bahagian Tuhan ialah umat-Nya, Yakub ialah bahagian harta pusaka-Nya.

[10] Didapati-Nya Yakub di daerah gurun, di gurun yang gersang, tempat binatang mengaum. Dikelilingi-Nya dia, diperhatikan-Nya, dan dijaga-Nya seperti apa yang disayangi-Nya.

[11] Bagai rajawali menggoncang-goncangkan sarangnya, melayang-layang di atas anak-anaknya, mengembangkan sayapnya, mengambil mereka, dan membawa mereka di atas sayapnya,

[12] demikianlah Tuhan sendiri menuntun dia dan tidak ada tuhan asing menyertai dia.

[13] Dibuat-Nya dia menunggangi tempat-tempat tinggi di bumi, sehingga dia menikmati hasil ladang. Dibuat-Nya dia menghisap madu daripada bukit batu, dan minyak dari batu pejal yang keras,

[14] dadih daripada kawanan lembu dan susu daripada kawanan domba, dengan lemak anak-anak domba; domba-domba jantan muda dari Basan dan kambing-kambing jantan, dengan gandum yang terbaik; juga dari buah anggur yang diperas kauminum air anggur.

[15] Namun Yesyurun menjadi gemuk dan menendang ke belakang. Kamu menjadi gemuk, besar, dan tambun! Dia meninggalkan Allah yang telah menjadikannya dan menghina Batu Pejal sumber penyelamatannya.

[16] Mereka menyebabkan Dia cemburu dengan tuhan-tuhan asing, mereka membangkitkan murka-Nya dengan tuhan-tuhan kekejian.

[17] Mereka mempersembahkan korban kepada roh-roh iblis, bukan Allah; kepada tuhan-tuhan yang tidak dikenal mereka, tuhan-tuhan baru yang belum lama muncul, yang tidak ditakuti oleh nenek moyangmu.

[18] Kamu mengabaikan Batu Pejal yang menciptakanmu, dan kamu melupakan Allah yang menjadikanmu.

[19] Tuhan melihat hal itu dan menolak mereka, kerana kemurkaan-Nya telah dibangkitkan oleh anak-anak-Nya baik lelaki mahupun perempuan.

[20] Firman-Nya, 'Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Aku akan melihat bagaimana kesudahan mereka, kerana mereka itu angkatan yang serong, anak-anak yang tidak setia.

[21] Mereka menggusarkan Aku kerana menduakan Aku dengan yang bukan Allah, mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan berhala mereka. Oleh sebab itu Aku akan membuat mereka iri hati dengan yang bukan umat dan Aku akan membuat mereka marah dengan bangsa yang bodoh.

[22] Dalam kemurkaan-Ku api tersulut, menyala-nyala sampai ke alam kubur yang terbawah. Tanah dan hasilnya ditelannya, dan dasar-dasar gunung dihanguskannya.

[23] Aku akan menimbun malapetaka ke atas mereka, anak-anak panah-Ku akan kuhabiskan melawan mereka.

[24] Mereka akan lemas kerana kelaparan, dimamah oleh demam dan wabak yang dahsyat. Aku akan melepaskan binatang buas yang bertaring kepada mereka serta binatang melata yang berbisa di tanah.

[25] Pedang di luar rumah dan kengerian di dalam bilik, akan menggugurkan baik pemuda mahupun anak dara, anak menyusu serta orang beruban.

[26] Seharusnya Aku berfirman, "Aku akan menyerakkan mereka. Aku akan melenyapkan kenangan tentang mereka daripada kalangan manusia."

[27] Tetapi Aku mengkhuatirkan celaan musuh. Jangan sampai musuh-musuh mereka salah memahami, jangan sampai mereka berkata, "Kami kuat dan hebat! Bukan Tuhan yang mengerjakan semua ini." '

[28] Mereka ialah bangsa yang kehilangan pertimbangan, pada mereka tidak ada pengertian.

[29] Kalau mereka bijaksana, mereka akan mengerti hal ini dan akan memahami kesudahannya.

[30] Bagaimana mungkin seorang dapat mengejar seribu orang, atau dua orang dapat menyebabkan sepuluh ribu orang lari, kalau mereka tidak dijual oleh Batu Pejal mereka? Tuhan telah menyerahkan mereka!

[31] Batu pejal kalangan itu tidak seperti Batu Pejal kita, musuh kita pun dapat menilainya.

[32] Sesungguhnya, pokok anggur mereka berasal daripada pokok anggur Sodom dan dari ladang-ladang Gomora. Buah anggur mereka buah anggur yang beracun, tandan-tandannya pun pahit.

[33] Air anggur mereka ialah bisa ular, racun ular senduk yang ganas.

[34] 'Bukankah hal itu tersimpan pada-Ku, termaterai dalam perbendaharaan-Ku?

[35] Akulah yang berhak membalas dan mengganjar. Pada waktunya kaki mereka akan goyah, kerana hari bencana sudah dekat dan hal-hal yang sudah disiapkan bagi mereka akan segera datang.'

[36] Tuhan akan membela perkara umat-Nya dan berbelas kasihan kepada hamba-hamba-Nya, apabila dilihat-Nya kekuatan mereka lenyap dan tidak ada yang terselamat, baik orang kurungan mahupun orang merdeka.

[37] Dia akan berfirman, 'Di manakah tuhan mereka, batu pejal tempat mereka berlindung,

[38] yang memakan lemak korban sembelihan mereka dan meminum air anggur persembahan minuman mereka? Biarlah mereka bangkit menolong kamu, biarlah mereka menjadi tempat persembunyian bagimu.

[39] Ketahuilah sekarang, sesungguhnya Aku sendirilah Dia. Tidak ada Allah selain-Ku. Akulah yang mematikan, Aku pulalah yang menghidupkan. Aku meremukkan, dan Aku menyembuhkan. Tidak ada yang dapat melepaskan sesuatu daripada tangan-Ku.

[40] Sesungguhnya, Kuangkat tangan-Ku ke langit dan berfirman: Demi Aku yang hidup untuk selama-lamanya!

[41] Jika Aku mengasah pedang-Ku yang berkilat-kilat, dan penghukuman ada dalam tangan-Ku, maka Aku akan menuntut balas ke atas musuh-musuh-Ku dan mengganjar kalangan yang membenci Aku.

[42] Aku akan membuat anak-anak panah-Ku mabuk darah, sementara pedang-Ku memakan daging: darah kalangan yang terbunuh dan kalangan yang ditawan, daripada para ketua para pemimpin musuh.'

[43] Wahai bangsa-bangsa, bersorak-sorailah bersama dengan umat-Nya, kerana Dia akan membalaskan darah hamba-hamba-Nya dan menuntut balas ke atas musuh-musuh-Nya. Dia akan mengadakan pendamaian bagi tanah-Nya dan umat-Nya."

[44] Kemudian Musa berserta Yosua anak Nun datang untuk memperdengarkan semua kata nyanyian itu kepada bangsa itu.

[45] Setelah Musa selesai memperdengarkan semua kata itu kepada semua orang Israel,

[46] berkatalah dia kepada mereka, "Letaklah dalam hatimu semua kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Perintahkanlah anak-anakmu untuk mentaati semua kata dalam hukum Taurat ini,

[47] kerana perkataan ini bukanlah perkataan yang sia-sia bagimu, melainkan kehidupanmu. Dengan perkataan ini umurmu akan lanjut di bumi yang akan kamu miliki setelah menyeberangi Sungai Yordan."

[48] Pada hari itu juga, Tuhan berfirman kepada Musa,

[49] "Naiklah ke Gunung Abarim, iaitu Gunung Nebo di Tanah Moab, yang berseberangan dengan Yerikho, lalu pandanglah Tanah Kanaan yang Kukurniakan kepada orang Israel menjadi milik mereka.

[50] Kamu akan mati di atas gunung yang kamu daki itu dan akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurmu sebagaimana Harun, abangmu, yang telah mati di Gunung Hor dan dikumpulkan bersama dengan kaum leluhurnya,

[51] sebab kamu berdua tidak bertindak dengan setia terhadap Aku di tengah-tengah orang Israel, di mata air Meriba, Kadesh, di kawasan Gurun Zin. Kamu tidak menyatakan kesucian-Ku di tengah-tengah orang Israel.

[52] Kamu boleh memandang negeri itu terbentang di hadapanmu tetapi tidak boleh masuk ke sana, ke negeri yang Kuberikan kepada orang Israel."

Ulangan — Chapters