Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:41

[1] Inilah ucapan berkat yang disampaikan Musa, hamba Allah itu, kepada orang Israel sebelum kematiannya.

[2] Katanya, " Tuhan datang dari Sinai dan menunjukkan diri-Nya kepada orang Israel dari Seir. Hadirat-Nya tampak bersinar dari Gunung Paran; datang-Nya dari antara puluhan ribu orang suci. Di sebelah kanan-Nya ada api yang menyala bagi mereka.

[3] Benarlah, Dia mengasihi umat-Nya, semua orang suci-Nya – sememangnya mereka di dalam tangan-Mu. Mereka duduk di kaki-Mu dan menerima panduan daripada firman-Mu.

[4] Musa telah mengamanatkan kepada kita hukum Taurat sebagai hak milik bagi jemaah Yakub.

[5] Tuhan ialah raja atas Yesyurun, ketika para ketua umat berkumpul, iaitu suku-suku Israel bersama-sama.

[6] Biarkan Ruben hidup dan jangan mati, tetapi biarlah jumlah orangnya sedikit."

[7] Mengenai Yehuda, inilah katanya, "Ya Tuhan, dengarlah suara Yehuda dan bawalah dia kepada bangsanya. Dengan tangannya dia berjuang bagi dirinya. Jadilah penolongnya menghadapi musuh-musuhnya."

[8] Mengenai Lewi dia berkata, "Tumim-Mu dan Urim-Mu adalah milik orang salih-Mu yang Kauuji di Masa – dengannya Kamu berbantah di mata air Meriba.

[9] Mengenai ayah dan ibunya dia berkata, 'Aku tidak mengendahkan mereka.' Dia juga tidak mengiktiraf saudara-saudaranya dan tidak mengakui anak-anaknya sendiri. Akan tetapi, bani Lewi itu berpegang teguh pada firman-Mu dan menjaga perjanjian-Mu.

[10] Mereka mengajarkan peraturan-peraturan-Mu kepada Yakub, dan hukum-Mu kepada Israel. Mereka meletakkan dupa di hadapan-Mu dan korban yang dibakar seluruhnya di atas mazbah-Mu.

[11] Ya Tuhan, berkatilah kemampuannya dan terimalah pekerjaan tangannya. Remukkanlah pinggang orang yang bangkit melawannya dan yang membencinya, sehingga orang itu tidak dapat bangkit lagi."

[12] Mengenai Benyamin dia berkata, "Biarlah kekasih Tuhan itu berdiam di sisi-Nya dengan aman. Allah melindunginya sepanjang waktu dan bersemayam di antara kedua-dua bahunya."

[13] Mengenai Yusuf dia berkata, "Biarlah negerinya diberkati Tuhan dengan yang terbaik dari langit, dengan embun, dan dengan samudera yang terhampar di bawah;

[14] dengan yang terbaik yang dihasilkan matahari, dan dengan yang terbaik yang tumbuh setiap bulan;

[15] dengan yang terutama dari gunung-gunung dahulukala, dan dengan yang terbaik daripada bukit-bukit purbakala;

[16] dengan yang terbaik daripada bumi serta segala isinya, dan dengan keredaan Dia yang hadir dalam semak menyala. Biarlah semua itu turun ke atas kepala Yusuf, ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudara-saudaranya.

[17] Kegemilangannya bagaikan anak sulung lembunya, dan tanduk-tanduknya ialah tanduk-tanduk lembu liar. Dengan tanduk itu dia menanduk bangsa-bangsa sampai ke hujung-hujung bumi. Itulah puluhan ribu orang Efraim dan ribuan orang Manasye."

[18] Mengenai Zebulon dia berkata, "Bersuka rialah, wahai Zebulon, dalam perjalananmu, dan kamu, wahai Isakhar, di dalam khemah-khemahmu.

[19] Mereka akan memanggil bangsa-bangsa ke gunung. Di sana mereka akan mempersembahkan pelbagai korban sembelihan yang benar. Sesungguhnya, mereka akan menghisap kelimpahan laut dan harta yang tersembunyi di dalam pasir."

[20] Mengenai Gad dia berkata, "Diberkatilah Dia yang meluaskan wilayah Gad. Gad berdiam di sana seperti singa betina. Dicabik-cabiknya lengan bahkan ubun-ubun.

[21] Dipilihnya bahagian yang terbaik untuk dirinya, kerana di sana tersimpan bahagian panglima. Maka datanglah dia bersama-sama ketua umat dan dijalankannya keadilan Tuhan serta hukum-hukum-Nya dalam hal orang Israel."

[22] Mengenai Dan dia berkata, "Dan anak singa yang melompat keluar dari Basan."

[23] Mengenai Naftali dia berkata, "Naftali kenyang dengan keredaan dan penuh dengan berkat Tuhan. Milikilah daerah sebelah barat dan sebelah selatan."

[24] Mengenai Asyer dia berkata, "Diberkatilah Asyer melebihi anak-anak lelaki. Biarlah dia disukai oleh saudara-saudaranya, dan biarlah dia mencelupkan kakinya ke dalam minyak.

[25] Semoga semua palang pintumu terbuat daripada besi dan tembaga dan kekuatanmu bertahan sepanjang usiamu.

[26] Tidak ada yang seperti Allah, wahai Yesyurun. Sebagai penolongmu, Dia mengenderai langit dan mengenderai awan-awan dalam kemegahan-Nya.

[27] Allah yang abadi ialah tempat perlindunganmu, dan di bawahmu ada lengan-lengan yang kekal. Dia mengusir musuh dari hadapanmu dan berfirman, 'Punahkanlah!'

[28] Maka Israel tinggal dengan aman. Mata air Yakub tinggal bersendirian di negeri tempat gandum dan air anggur. Bahkan langitnya pun menitikkan embun.

[29] Berbahagialah kamu, wahai Israel! Siapakah seperti kamu? Kamu ialah bangsa yang diselamatkan Tuhan. Dialah perisai penolongmu dan pedang kejayaanmu. Musuh-musuhmu akan mengekot merendahkan diri kepadamu dan kamu akan menginjak-injak tempat-tempat tinggi mereka."

Ulangan — Chapters