Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:19

[1] Kami ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, tentang kasih kurnia Allah kepada jemaah-jemaah di Makedonia.

[2] Sungguhpun mereka banyak diuji dengan kesusahan, namun kegembiraan mereka melimpah. Walaupun mereka sangat miskin, mereka kaya dalam kemurahan hati.

[3] Aku dapat memberikan kesaksian bahawa dengan rela hati mereka telah memberi setakat termampu, malah lebih daripada itu.

[4] Mereka telah meminta bersungguh-sungguh kepada kami agar mereka diberi anugerah untuk menyumbang kepada keperluan orang salih.

[5] Hal ini benar-benar di luar jangkaan kami. Mereka mempersembahkan diri pertama-tama kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga dengan kehendak Allah.

[6] Oleh itu, kami meminta bersungguh-sungguh kepada Titus, yang telah memulakan usaha itu, supaya melanjutkan pekerjaan yang mulia itu dalam kalanganmu.

[7] Jadi, sebagaimana kamu kaya dalam segala hal dalam iman, kata-kata, pengetahuan, kesungguhan dan dalam kasihmu kepada kami hendaklah kamu kaya juga dalam pekerjaan yang mulia itu.

[8] Ini bukanlah satu perintah, tetapi aku menguji keikhlasan kasihmu berbanding kesungguhan orang lain.

[9] Kamu tahu tentang kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus. Dia kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinan-Nya kamu menjadi kaya.

[10] Dalam hal ini, aku menasihatimu: Sudah sewajarnya kamu meneruskan apa yang kamu mulakan setahun lalu. Pada masa itu, kamulah yang mula-mula berhasrat memberi, dan kamulah yang mula-mula bertindak.

[11] Sekarang, hendaklah kamu menyempurnakannya. Dahulu kamu telah membuat keputusan memberi, maka sekarang buktikanlah bahawa kamu bersedia melaksanakannya menurut kemampuanmu.

[12] Jika seseorang sanggup memberi, Allah reda menerima pemberiannya menurut apa yang dia ada, bukan apa yang dia tidak ada.

[13] Maksudku bukanlah supaya orang lain dimudahkan manakala kamu disusahkan, tetapi agar terdapat persamaan.

[14] Kini, kelebihanmu dapat menampung kekurangan mereka. Satu hari nanti, kelebihan mereka dapat menampung kekuranganmu pula, maka terdapatlah persamaan,

[15] seperti yang telah tersurat, "Orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan."

[16] Segala puji dan syukur kepada Allah kerana telah meletakkan ke dalam hati Titus keprihatinan yang sama terhadapmu.

[17] Titus menerima permintaan kami, malah dengan kehendaknya sendiri pergi mengunjungimu.

[18] Kami mengutus seorang lagi saudara kita bagi menyertai Titus: Seorang yang terpuji dalam kalangan semua jemaah kerana pelayanannya dalam hal-hal Injil.

[19] Malah dia juga telah dipilih oleh semua jemaah untuk menemani kami dalam perjalanan kami, yang bertujuan menyampaikan pemberian itu, agar Tuhan dimuliakan dan kesediaanmu menolong menjadi nyata.

[20] Kami juga ingin mengelakkan daripada dicela berkaitan tindakan kami membawa pemberian yang begitu besar.

[21] Kami berusaha melakukan apa yang benar bukan sahaja di mata Tuhan tetapi juga di mata manusia.

[22] Oleh yang demikian, bersama Titus dan saudara kita itu, kami mengutus seorang lagi saudara kita. Kami telah mengujinya beberapa kali dan mendapatinya amat bersungguh-sungguh. Malah sekarang dia lebih bersungguh-sungguh lagi disebabkan kepercayaan yang sangat besar kepadamu.

[23] Titus ialah temanku dan rakan sekerjaku untuk kepentinganmu. Saudara-saudara kita yang lain itu adalah utusan jemaah-jemaah, dan kemuliaan Kristus.

[24] Oleh itu, tunjukkanlah kepada mereka dan di hadapan semua jemaah bukti kasihmu serta kebanggaan kami terhadapmu.

2 Korintus — Chapters