[1] Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku.
[2] Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan Kristus dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci.
[3] Tetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada Kristus.
[4] Jika seseorang datang menyebarkan perkhabaran tentang Yesus yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya.
[5] Aku rasa aku tidaklah kurang berbanding rasul-rasul yang unggul itu.
[6] Sungguhpun aku tidak terlatih dalam bertutur kata, namun aku tidaklah kekurangan dalam pengetahuan. Kami telah ternyata sepenuhnya kepadamu dalam segala hal.
[7] Berdosakah aku merendahkan diriku supaya kamu ditinggikan, kerana aku menyampaikan Injil Allah kepadamu tanpa mengenakan bayaran?
[8] Aku telah "merompak" jemaah-jemaah lain dengan menerima ganjaran daripada mereka untuk melayanimu.
[9] Apabila aku berada dalam kalanganmu, dalam keadaanku yang serba kurang, aku tidak membebani sesiapa pun di antaramu; kerana segala keperluanku dipenuhi oleh saudara-saudara kita dari Makedonia. Dalam segala hal aku memastikan bahawa aku tidak menjadi beban kepadamu; dan demikianlah akan terus kulakukan.
[10] Sebagaimana kebenaran Kristus tetap ada dalam diriku, tiada siapa pun akan menghalangku daripada berbangga dalam hal ini di wilayah Akhaya.
[11] Mengapa? Kerana aku tidak mengasihimu? Allah yang tahu!
[12] Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang dibanggakan mereka.
[13] Mereka ialah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul Kristus.
[14] Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya.
[15] Oleh itu, bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang dikerjakan mereka.
[16] Sekali lagi aku berkata, janganlah sesiapa menyangka aku bodoh. Tetapi sekiranya aku disangka begitu, terimalah aku sebagai orang bodoh, agar aku dapat berbangga sedikit.
[17] Apa yang kukatakan ini bukanlah menurut Tuhan tetapi selaku orang bodoh dalam keyakinan berbangga.
[18] Memandangkan ramai orang yang berbangga secara duniawi, maka aku akan berbangga juga;
[19] kerana kamu begitu senang hati bersabar dengan orang bodoh, sedangkan kamu bijak.
[20] Kamu bersabar dengan orang yang memperhamba kamu, yang menelanmu, yang memerangkapmu dengan tipu helah, yang meninggikan dirinya, yang menampar mukamu.
[21] Dalam hal demikian, dengan rasa malu aku mengaku, kami memang lemah. Tetapi jika orang lain berani berbangga tentang sesuatu sebagai orang bodoh aku berkata, aku juga berani.
[22] Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Abraham? Aku juga begitu.
[23] Kerana mereka para pelayan Kristus? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut.
[24] Lima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi.
[25] Tiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut.
[26] Dalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman.
[27] Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian.
[28] Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah.
[29] Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya!
[30] Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku.
[31] Allah, Bapa Tuhan Yesus yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta.
[32] Gabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku.
[33] Tetapi aku diturunkan di dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas daripada tangannya.