[1] Sebagai rakan-rakan sekerja, kami meminta kepadamu, janganlah sia-siakan kasih kurnia Allah yang telah kamu terima,
[2] kerana demikianlah firman-Nya, "Aku telah mendengar kata-katamu ketika Aku berkenan dan pada hari penyelamatan, Aku telah menolongmu." Sekaranglah waktunya Allah berkenan dan sekaranglah hari penyelamatan itu.
[3] Dalam hal apa jua, kami tidak menyebabkan orang tersandung, supaya pengabdian kami tidak dicela.
[4] Sebaliknya, dalam semua hal, kami telah membuktikan bahawa kami bersikap secara yang wajar bagi hamba-hamba Allah. Kami cukup tabah menghadapi kesusahan, kesulitan dan kesempitan,
[5] sebatan, pemenjaraan, huru-hara, penat lelah, bercekang mata, dan keadaan lapar.
[6] Kami hidup dalam kesucian, pengetahuan, kesabaran, baik budi, dalam Roh Kudus, dan dalam kasih sejati.
[7] Kami menyampaikan kebenaran, dan hidup dalam kuasa Allah. Kami bersenjatakan perbenaran, di tangan kanan dan kiri.
[8] Kami dimuliakan dan dihina, dikeji dan dipuji. Kami dipanggil penipu sedangkan kami benar.
[9] Kami dianggap tidak dikenali, padahal terkenal. Kami disangka sudah hampir mati, tetapi ternyata masih hidup. Kami dibelasah, namun tidak dibunuh.
[10] Kami disedihkan, tetapi sentiasa gembira. Kami miskin, namun ramai yang kami perkaya. Kami tidak memiliki apa-apa, tetapi kami mempunyai segala-galanya.
[11] Wahai orang Korintus! Kami telah bercakap terus terang kepadamu, hati kami terbuka luas.
[12] Kamu terbatas bukanlah oleh kami tetapi oleh perasaanmu sendiri.
[13] Oleh itu, aku berkata seperti kepada anak-anak, bukalah hatimu supaya antara kita saling berterus terang.
[14] Janganlah berpasangan dengan orang yang tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara yang benar dengan yang derhaka? Dapatkah terang bersatu dengan gelap?
[15] Adakah muafakat antara Kristus dengan Belial? Adakah kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman?
[16] Apakah hubungannya antara bait Allah dengan berhala-berhala? Kita ialah bait Allah yang hidup, seperti dalam firman-Nya, "Aku akan tinggal dalam mereka dan berjalan di antara mereka. Aku akan menjadi Allah mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku."
[17] Oleh itu, "Keluarlah daripada kalangan mereka, dan asingkanlah dirimu daripada mereka," demikianlah firman Tuhan. "Jangan sentuh yang najis, maka Aku akan menerimamu"
[18] "Aku akan menjadi Bapamu, dan kamu, anak-anak-Ku lelaki perempuan, demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa."