Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:02

[1] Adakah kami memuji diri? Atau perlukah kami menunjukkan surat pujian kepadamu atau yang datang daripadamu, seperti dilakukan oleh sebilangan orang?

[2] Kamulah surat pujian kami, yang tersurat dalam hati kami, dan yang dapat diketahui serta dibaca oleh semua orang.

[3] Kamu adalah surat kiriman Kristus yang kami hantarkan. Surat itu ditulis bukan dengan dakwat, tetapi dengan Roh daripada Allah yang hidup; bukan pada loh batu tetapi pada loh daging iaitu hati manusia.

[4] Demikianlah keyakinan kami kepada Allah melalui Kristus.

[5] Kami tidak menganggap kesanggupan kami bekerja datang daripada diri kami sendiri. Kesanggupan itu datang daripada Allah.

[6] Dialah yang telah menjadikan kami sanggup mengabdi diri kepada umat perjanjian baru yang tidak lagi berasaskan hukum-hukum bertulis tetapi berasaskan Roh; kerana perintah-perintah tersurat itu membawa kematian sedangkan Roh membawa kehidupan.

[7] Jika perjanjian yang membawa kepada kematian, iaitu yang terukir hurufnya pada loh-loh batu, diturunkan dari kemuliaan wajah Musa sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya, walaupun ketika itu sinarnya sudah mulai malap;

[8] maka tentulah perjanjian yang datang daripada Roh lebih besar lagi kemuliaannya.

[9] Jika perjanjian yang membawa manusia kepada penghakiman begitu mulianya, maka perjanjian yang membawa manusia kepada perbenaran tentulah jauh lebih mulia lagi!

[10] Sesuatu yang dahulu dipandang mulia tidak mulia lagi berbanding sesuatu yang jauh lebih mulia.

[11] Jika sesuatu yang sementara telah diturunkan dengan kemuliaan, maka sesuatu yang kekal haruslah diturunkan dengan kemuliaan yang lebih besar.

[12] Oleh sebab kami menaruh harapan demikian, maka kami lebih berani,

[13] berbeza dengan Musa yang menutup wajahnya dengan selubung supaya bangsa Israel tidak dapat memandang kemuliaan yang beransur malap.

[14] Fikiran mereka menjadi tumpul, kerana hingga hari ini, apabila mereka membaca Kitab-kitab Suci yang mengandungi perjanjian lama, selubung itu masih tetap menghalang pandangan mereka. Selubung tidak akan terbuka kecuali dalam Kristus.

[15] Malah hingga sekarang, ketika mereka membaca Kitab Suci yang disampaikan melalui Musa, selubung itu masih menutupi hati mereka.

[16] Apabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan.

[17] Tuhan ialah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan.

[18] Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan.

2 Korintus — Chapters