Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:50

[1] Daud berunding dengan semua pemimpin, iaitu dengan para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus.

[2] Setelah itu, Daud berkata kepada seluruh jemaah Israel, "Jika baik menurutmu dan jika hal ini berasal daripada Tuhan, Allah kita, mari kita kirim utusan untuk menyiarkan khabar kepada saudara-saudara kita yang lain di seluruh Tanah Israel, juga kepada para imam dan bani Lewi yang tinggal dengan mereka di kota-kota yang dikelilingi padang ragut, supaya mereka berkumpul bersama kita.

[3] Mari kita bawa kembali tabut Allah kita ke tempat kita, kerana pada zaman Saul kita tidak mempedulikan hal itu."

[4] Seluruh jemaah itu bersetuju untuk berbuat demikian, kerana hal itu dipandang baik oleh seluruh bangsa.

[5] Maka Daud mengumpulkan semua orang Israel, mulai Sikhor di Mesir sampai ke jalan masuk Hamat, untuk membawa tabut Allah dari Kiryat-Yearim.

[6] Lalu Daud dan semua orang Israel berangkat ke Baala, iaitu Kiryat-Yearim, yang termasuk wilayah Yehuda, untuk mengangkut tabut Allah dari sana; tabut itu disebut dengan nama Tuhan yang bersemayam di atas malaikat-malaikat kerubin.

[7] Kemudian dari rumah Abinadab mereka menaikkan tabut Allah itu ke atas pedati yang baru. Uza dan Ahio menghantar pedati itu.

[8] Lalu di hadapan Allah, Daud dan semua orang Israel menari-nari dengan sekuat tenaga diiringi nyanyian, kecapi, gambus, rebana, ceracap, serta nafiri.

[9] Ketika mereka sampai di tempat pembantingan Kidon, Uza menghulurkan tangannya untuk memegang tabut itu, kerana lembu-lembu penarik pedati itu tersandung.

[10] Maka menyalalah murka Tuhan terhadap Uza, dan Allah mengazabkan Uza kerana dia telah menghulurkan tangannya memegang tabut itu. Maka matilah Uza di sana, di hadapan Allah.

[11] Daud berasa kesal kerana Tuhan telah menyambar Uza. Itulah sebabnya tempat itu disebut Peres-Uza sampai hari ini.

[12] Pada hari itu Daud menjadi takut kepada Allah, katanya, "Bagaimanakah tabut Allah itu dapat kubawa ke tempatku?"

[13] Oleh sebab itu Daud tidak jadi memindahkan tabut itu ke tempatnya, iaitu ke Kota Daud, melainkan menyinggahkannya di rumah Obed-Edom, orang Gat.

[14] Maka tabut Allah itu tinggal di rumah keluarga Obed-Edom selama tiga bulan dan Tuhan pun memberkati keluarga Obed-Edom dan segala miliknya.

1 Tawarikh — Chapters