Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 8:37

[1] Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Yesus menghadap Pilatus.

[2] Mereka mula menuduh Dia, "Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya Kristus, seorang raja!"

[3] Pilatus bertanya kepada Yesus, "Adakah Engkau Raja orang Yahudi?" Yesus menjawab, "Begitulah seperti katamu."

[4] Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, "Aku tidak mendapati-Nya bersalah."

[5] Tetapi mereka semakin mendesak, "Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini."

[6] Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Yesus seorang Galilea.

[7] Ketika Pilatus mengetahui Yesus berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Yesus dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Yerusalem.

[8] Apabila Herodes melihat Yesus, dia sangat gembira. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Yesus kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Lagipun, dia berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat.

[9] Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Yesus tetapi Yesus tidak menjawab sepatah kata pun.

[10] Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Yesus.

[11] Herodes dan askar-askarnya menghina Yesus dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus.

[12] Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.

[13] Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai

[14] lalu berkata kepada mereka, "Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu.

[15] Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati.

[16] Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya."

[17] Pada setiap Perayaan Paskah Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.

[18] Tetapi semua orang berteriak, "Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami."

[19] (Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)

[20] Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi.

[21] Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, "Salibkan Dia! Salibkan Dia!"

[22] Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: "Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya."

[23] Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Yesus disalib. Akhirnya, mereka berjaya.

[24] Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.

[25] Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Yesus diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.

[26] Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya.

[27] Ramai orang mengikut Yesus; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya.

[28] Yesus berpaling kepada mereka lalu berkata, "Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri.

[29] Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, 'Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!'

[30] Pada masa itulah mereka akan berkata kepada gunung-gunung, 'Timpalah kami!' dan kepada bukit-bukit, 'Timbuslah kami!'

[31] Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?"

[32] Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus.

[33] Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, "Tengkorak," mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.

[34] Yesus berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka." Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.

[35] Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, "Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah."

[36] Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya

[37] lalu berkata, "Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu."

[38] Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: "Inilah Raja orang Yahudi."

[39] Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, "Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!"

[40] Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, "Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.

[41] Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa."

[42] Dia berkata kepada Yesus, "Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu."

[43] Yesus menjawab, "Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus."

[44] Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan,

[45] kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua.

[46] Yesus berseru dengan kuat, "Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!" Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.

[47] Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, "Sesungguhnya, orang ini orang yang benar."

[48] Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.

[49] Semua sahabat Yesus, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

[50] Terdapat seorang bernama Yusuf yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan benar.

[51] Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah.

[52] Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Yesus.

[53] Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.

[54] Hari itu ialah hari Persiapan, dan hari Sabat hampir bermula.

[55] Perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya.

[56] Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.

Lukas — Chapters