Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:27

[1] Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: "Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku.

[2] Lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan pada lehernya dan dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil ini berdosa.

[3] Berwaspadalah! Jika saudaramu telah berbuat dosa terhadapmu, tegurlah dia dan jika dia bertaubat, ampunilah dia.

[4] Jika dia berdosa sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, 'Aku bertaubat,' kamu hendaklah mengampuninya."

[5] Rasul-rasul itu berkata kepada Tuhan, "Kuatkanlah iman kami."

[6] Tuhan menjawab, "Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu akan dapat berkata kepada pokok ara ini, 'Tercabutlah akar-akarmu dan tertanamlah kamu di laut,' dan pokok ara akan menurut perintahmu."

[7] "Jika salah seorang kamu mempunyai hamba yang membajak atau menggembalakan domba, siapakah antara kamu akan berkata kepadanya sewaktu dia pulang dari ladang, 'Marilah segera dan duduklah untuk makan'?

[8] Bukankah kamu akan berkata kepadanya, 'Hidangkan makanan dan bersedia untuk melayan aku semasa aku makan. Selepas itu, barulah kamu makan'?

[9] Adakah dia mengucapkan terima kasih kepada hamba itu kerana dia menurut perintah?

[10] Begitu juga dengan kamu. Apabila kamu telah berbuat segala yang diperintahkan kepadamu, kamu hendaklah berkata, 'Kami ini hamba yang tidak layak menerima apa-apa; kami cuma menjalankan kewajipan kami.' "

[11] Dalam perjalanan Yesus ke Yerusalem, Dia melalui sempadan Samaria dan Galilea.

[12] Apabila Dia memasuki sebuah kampung, sepuluh orang berpenyakit kusta datang bertemu dengan-Nya. Mereka berdiri jauh sedikit daripada Yesus

[13] dan berseru kepada-Nya, "Ya Yesus, ya Tuan, kasihanilah kami!"

[14] Apabila Yesus melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, "Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam." Dalam perjalanan, mereka pun menjadi tahir.

[15] Seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat.

[16] Dia sujud pada kaki Yesus dan mengucapkan terima kasih. Dia seorang Samaria.

[17] Yesus bertanya, "Bukankah sepuluh orang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi?

[18] Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk memberikan pujian kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?

[19] Yesus pun berkata kepadanya, "Bangunlah dan pergi. Imanmu telah menyembuhkan kamu."

[20] Terdapat beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus bila kerajaan Allah akan datang dan Yesus menjawab, "Kerajaan Allah tidak datang dengan tanda-tanda yang dapat dilihat.

[21] Tiada orang akan berkata, 'Lihatlah di sini!' atau 'Lihatlah di sana!' kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu."

[22] Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: "Masanya akan datang apabila kamu ingin melihat salah satu hari Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.

[23] Orang akan berkata kepadamu, 'Lihat di situ!' atau 'Lihat di sini!' Tetapi janganlah kamu pergi atau mengikutnya.

[24] Seperti kilat memancar dari sebelah kaki langit ke sebelah yang lain, demikianlah juga halnya Anak Manusia pada hari-Nya kelak.

[25] Tetapi terlebih dahulu Dia akan mengalami banyak penderitaan dan Dia tidak akan diterima oleh orang zaman ini.

[26] Sebagaimana yang berlaku pada zaman Nuh, demikianlah kelak pada zaman Anak Manusia.

[27] Mereka makan minum, berkahwin dan dikahwinkan hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera, lalu banjir melanda dan membinasakan mereka semua.

[28] Demikian juga yang berlaku pada zaman Lut. Mereka makan dan minum, berjual beli, bercucuk tanam dan mendirikan rumah.

[29] Pada hari Lut keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.

[30] Begitulah yang berlaku kelak pada hari Anak Manusia menunjukkan diri-Nya.

[31] Pada hari itu orang yang di atas bumbung, janganlah dia turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Demikian juga janganlah orang di ladang pulang ke rumahnya.

[32] Ingatlah akan isteri Lut!

[33] Sesiapa yang cuba memelihara nyawanya akan kehilangannya, tetapi sesiapa yang sanggup mengorbankan nyawanya akan menyelamatkannya.

[34] Aku berkata kepadamu bahawa pada malam itu dua orang berbaring di atas katil. Seorang dibawa pergi dan seorang ditinggalkan.

[35] Dua orang perempuan bersama-sama mengisar gandum. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.

[36] Dua orang lelaki bekerja di ladang. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan."

[37] Mereka bertanya kepada Yesus, "Di manakah, ya Tuhan?" Yesus menjawab, "Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar."

Lukas — Chapters