Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:30

[1] Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci.

[2] Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria.

[3] Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.

[4] Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud.

[5] Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil.

[6] Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin.

[7] Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.

[8] Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka.

[9] Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan.

[10] Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, "Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat.

[11] Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan.

[12] Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung."

[13] Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah:

[14] "Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya."

[15] Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, "Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita."

[16] Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.

[17] Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu.

[18] Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka;

[19] tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya.

[20] Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.

[21] Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberi nama Yesus, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maria.

[22] Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Yesus ke Yerusalem untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan.

[23] Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan.

[24] Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.

[25] Pada masa itu ada seorang di Yerusalem yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan takut kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia disertai Roh Kudus.

[26] Roh Kudus telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat Kristus yang dijanjikan oleh Tuhan.

[27] Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam Bait Suci. Ketika Yesus, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu,

[28] Simeon mendukung Dia dan memuji Allah lalu berkata:

[29] "Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu:

[30] kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu

[31] yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,

[32] satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel."

[33] Ibu dan bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu.

[34] Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, "Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang di Israel kelak; Dia menjadi tanda yang akan dibantahi orang

[35] supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang."

[36] Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Sesudah berkahwin selama tujuh tahun dan hidup bersama dengan suaminya,

[37] Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam.

[38] Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Yerusalem.

[39] Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nazaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea.

[40] Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Allah ada pada-Nya.

[41] Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah.

[42] Ketika Yesus berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa.

[43] Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Yesus, anak mereka itu tertinggal di Yerusalem dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu.

[44] Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu, mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Yesus dalam kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka.

[45] Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari-Nya.

[46] Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Yesus di dalam Bait Suci. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan.

[47] Semua orang yang mendengar Yesus kagum akan pengertian dan jawapan-Nya.

[48] Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, "Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu."

[49] Lalu Yesus menjawab, "Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?"

[50] Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.

[51] Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nazaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya.

[52] Yesus semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai Allah dan manusia.

Lukas — Chapters