[1] Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda.
[2] Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum Kristus.
[3] Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri.
[4] Setiap orang harus menguji kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain.
[5] Sebabnya setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.
[6] Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.
[7] Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.
[8] Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal.
[9] Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.
[10] Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.
[11] Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri!
[12] Mereka yang ingin menunjukkan diri baik secara lahiriah, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib Kristus.
[13] Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan lahiriahmu.
[14] Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun kecuali salib Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia.
[15] Sebabnya sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting.
[16] Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan atas mereka, dan atas Israel Allah.
[17] Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Yesus.
[18] Saudara-saudara, semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.