[1] Daripada Paulus, seorang rasul – bukan daripada manusia atau melalui manusia, tetapi melalui Yesus Kristus dan Allah Bapa, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian –
[2] dan daripada semua saudara yang bersamaku, Kepada semua jemaah di Galatia:
[3] Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Allah Bapa dan daripada Tuhan Yesus Kristus
[4] yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini, menurut kehendak Bapa kita Allah.
[5] Bagi-Nyalah kemuliaan selama-lamanya. Amin.
[6] Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia Kristus, kepada suatu injil lain –
[7] yang bukannya Injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil Kristus.
[8] Tetapi jika kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang itu!
[9] Sebagaimana aku sudah berkata dahulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan Injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu!
[10] Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba Kristus.
[11] Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kusampaikan bukanlah menurut manusia.
[12] Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Yesus Kristus.
[13] Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dahulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya.
[14] Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku dalam kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku.
[15] Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya
[16] berkenan untuk menyatakan Anak-Nya dalamku agar aku mengkhabarkan tentang Dia dalam kalangan bangsa lain. Pada waktu itu, aku sama sekali tidak bermesyuarat dengan sesama manusia.
[17] Aku tidak juga pergi ke Yerusalem untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke Tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik.
[18] Tiga tahun kemudian, aku ke Yerusalem bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari.
[19] Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain – kecuali Yakobus, saudara Tuhan Yesus.
[20] Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong.
[21] Selepas itu, aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia.
[22] Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah Kristus di Yudea.
[23] Mereka hanya mendengar: "Orang yang dahulu menganiaya kita sekarang mengkhabarkan iman yang hendak dibinasakannya dahulu."
[24] Lalu mereka memuji Allah keranaku.