[1] Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula.
[2] Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah Kristus kepadamu.
[3] Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat.
[4] Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada Kristus. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah.
[5] Kita, melalui Roh dan dengan iman, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat perbenaran.
[6] Kerana dalam Kristus Yesus, sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih.
[7] Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar?
[8] Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu.
[9] "Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal."
[10] Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapa pun dia.
[11] Saudara-saudara, jika aku masih menyebarkan ajaran supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang.
[12] Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri!
[13] Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih.
[14] Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: "Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri."
[15] Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.
[16] Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii.
[17] Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan.
[18] Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat.
[19] Kelakuan tabii manusia adalah nyata: perbuatan cabul, kecemaran dan kelucahan;
[20] menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak
[21] dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dahulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
[22] Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan,
[23] lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini.
[24] Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya.
[25] Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga.
[26] Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.